HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 Februari 2008

Bekas panglima Umno Perlis berhijrah ke KeADILan


Kangar - Menurut Pengerusi Perhubungan KeADILan Perlis, Ab Gani Ismail, pembahagian kerusi pilihanraya antara KeADILan dan Pas di Perlis berjalan lancar dan keputusannya akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

Baru-baru ini negeri ini telah menjadi tajuk utama berita apabila Setiausaha Agong Umno, Radzi Sheikh Ahmad menyerang Menteri Besar Perlis, Shahidan Kassim secara terbuka di mana Radzi menganggap jawatan MB Perlis perlu ditukar kepada pemimpin yang lain.

“Perpecahan yang teruk di kalangan pimpinan Umno di Perlis ini menyebabkan rakyat Perlis terabai dan tidak hairanlah tahap ekonomi Perlis kekal di takuk yang lama seolah-olah masih berada di tahun lapan puluh-an.”

“Kami menawarkan kepada rakyat Perlis dengan barisan calon Barisan Alternatif Perlis yang hebat dari pelbagai latar belakang terutamanya akan dikepalai oleh Dr Haron Din. Kami yakin rakyat Perlis yang semakin terdedah kepada pelbagai makumat bersedia untuk memberi peluang kepada kami untuk menguruskan kesejahteraan rakyat Perlis dengan penuh amanah dan prihatin,” ujar Ab Gani lagi.

Di Perlis juga, seorang bekas tokoh penceramah Umno telah membuat keputusan untuk menyertai KeADILan.

Keria Senawi merupakan nama yang agak baru bagi KeADILan Negeri Perlis tetapi sudah lama bertakhta di hati rakyat di Dun Titi Tinggi, Padang Besar, Perlis. Beliau sekarang diamanahkan sebagai Timbalan Pengerusi KeADILan Negeri Perlis. Sebelum ini, beliau adalah antara tenaga penceramah BN bukan sahaja di Perlis bahkan sering dipanggil untuk membantu kempen Barisan Nasional dalam setiap kali pilihanraya kecil di seluruh negara.

Penghijrahannya ke dalam KeADILan pada pertengahan tahun lepas adalah merupakan suatu malapetaka yang besar kepada BN khususnya Umno kerana mereka kehilangan tenaga penceramah ulung mereka di Perlis sehinggakan ramai pemimpin Umno Perlis cuba untuk memujuk beliau supaya kembali kepada Umno dengan dijanjikan pelbagai tawaran yang lumayan, namun demikian beliau telah meletakkan noktah yang terakhir kepada Umno dan menganggap Umno sudah tidak relevan lagi.

Semasa dalam Umno, beliau pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Cawangan Umno Felda Mata Ayer, AJK Umno Bahagian Kangar dan AJK Umno Bahagian Padang Besar serta Pengerusi Biro Agama Umno Bahagian Padang Besar. Di samping itu, beliau pernah menjadi penyelaras pilihanraya BN bagi Parlimen Padang Besar.

Di antara faktor yang menyebabkan beliau hilang keyakinan kepada Umno adalah kerana baginya Umno merupakan sejenis parti yang tidak mengenang budi dan hanya mementingkan golongan yang mempunyai jawatan tinggi dalam parti.

Keria memilih KeADILan kerana baginya KeADILan adalah merupakan sebuah parti politik yang mampu membawa penyatuan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama. Keunggulan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri turut mempengaruhi beliau untuk menyertai parti ini.

Sejak menyertai KeADILan, beliau terus dipujuk oleh ramai pemimpin kanan Umno Perlis yang tidak mahu didedahkan nama mereka supaya beliau kembali semula kepada Umno dengan membuat bermacam-macam tawaran.

Keria juga menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap Adun Titi Tinggi, Loh Yoon Foo yang menurutnya gagal melaksanakan amanah yang diberikan oleh pengundi di Dun ini setelah diberi mandat selama empat penggal berturut-turut.

“Saya mahukan satu bentuk perubahan di Dun ini yang sesuai dengan kedudukannya di sempadan Malaysia-Thailand yang menjanjikan pembangunan demi meningkatkan ekonomi rakyat di sini. Saya mahukan satu dasar pembangunan negeri yang seimbang antara satu kawasan Dun dengan kawasan Dun yang lain. Umpamanya kalau kawasan Dun Pauh dibangunkan, kawasan Dun Titi Tinggi pun mesti turut dibangunkan,”.

Keria juga mahu memastikan bahawa peneroka di Felda Rimba Mas dan Felda Mata Ayer akan mendapatkan hak yang sama dengan peneroka Felda di negeri lain dalam hak pemilikan tanah.

Bagi Keria, demokrasi ala BN adalah bersifat ‘maksum’ tanpa boleh dikritik langsung dan BN juga menyekat kebebasan rakyat di samping penyalahgunaan kuasa dan wang rakyat amat berleluasa untuk kepentingan BN dan pemimpin BN.

“Contohnya di Perlis, BN sudah membuka bilik gerakan pilihanraya di mana khemah yang digunakan adalah terang-terangan mempunyai logo kerajaan negeri Perlis yang membawa maksud hak kerajaan negeri. Canopi milik kerajaan negeri telah digunakan untuk bilik gerakan pilihanraya BN di Perlis.”

Tiada ulasan: