Bubar parlimen: "Bukan hari ini" PM
Oleh Bernama
BANGI: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata tiada pembubaran Parlimen esok (13 Feb) bagi memberi ruang kepada pilihan raya umum ke-12.
"Tak adalah, esok tak ada," katanya kepada pemberita selepas melancarkan empat program serentak iaitu Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia, Kursi Syeikh Abdullah Fahim, buku Biografi Tun Abdullah Salleh dan Kompleks Tun Abdullah Salleh di sini.
Ditanya adakah esok mesyuarat kabinet terakhir sebelum parlimen dibubarkan beliau berkata: "Apakah yang membuatkan anda terfikir bahawa ia adalah mesyuarat kabinet yang terakhir.
"Mesyuarat kabinet ada lagi, ada lagi, ada lagi. Pandai la you (anda), tu yang seronok rumours (khabar angin) tu," katanya tersenyum lalu ketawa.
Pelbagai pihak termasuk media membuat spekulasi bahawa pembubaran Parlimen akan diumumkan dalam masa terdekat, selain mengambil kira tarikh 13 Feb, iaitu nombor 13 yang diketahui sebagai angka yang digemari Abdullah.
Abdullah juga berkata Barisan Nasional (BN) tidak akan mencalonkan mana-mana individu atau wakil rakyat yang gagal melepasi saringan Badan Pencegah Rasuah (BPR).
"Untuk menentukan calon-calon nanti, saya akan mendapatkan laporan daripada BPR barkaitan dengan mana-mana wakil rakyat yang sedang berkhidmat.
"Laporan BPR ini juga akan meliputi mana-mana calon yang bakal bertanding," katanya.
"Pihak BPR akan memberi laporan sama ada clear atau tidak, kalau masih tak clear payahlah (untuk dipilih sebagai calon)...jadi kalau namanya masih di dalam fail BPR dan siasatan juga telah bermula ke atasnya, maka saya tak akan ambil kira (calon itu)," katanya.
Ditanya mengenai prestasi wakil rakyat Barisan Nasional, Abdullah berkata beliau amat berpuas hati dengan prestasi mereka.
"Secara umumnya, mereka (wakil-wakil rakyat) telah berjaya menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
"Tugasan yang telah mereka lakukan juga dapat memenuhi kehendak negara dan rakyat dengan jayanya," katanya.
Perdana Menteri berkata beliau juga berpuas hati dengan pelaksanaan projekprojek di bawah Rancangan Malaysia KeSembilan (RMK9) yang kini berjalan dengan lancar.
"Bagi saya, boleh dikatakan apa yang disebutkan dalam buku RMK9 itu juga hampir semua telah dimulakan pelaksanaannya," katanya.
Menurutnya pelaksanaan itu juga telah berada dalam beberapa peringkat pembangunan tertentu dan mengikut waktu masa yang ditetapkan.
"Pembangunan ini ada juga yang akan mengambil masa yang lama untuk kita melihat hasilnya dan ada yang lebih cepat dan telah selesai dibangunkan, jadi tidak ada masalah setakat ini," katanya.
Mengenai kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk hanya membuat pengiraan semula undi apabila berlaku perbezaan sebanyak empat peratus berbanding dua peratus sebelum ini, Abdullah berkata: "Saya ikut sahajalah apa yang SPR putuskan".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan