Ishak Baharom pegang erat amanat, pesan gurunya
Ali Bukhari Amir.
Hidup wartawan mendatangkan kesukaan dalam hidup. Saya tergolong dalam kalangan yang bertuah kerana dapat menemu bual dua agamawan ketika mereka masih hidup. Mereka adalah bekas Mufti Selangor Dato' Ishak Baharom dan arwah Ustaz Wan Soghir yang banyak menulis mengenai ulamak-ulamak Nusantara.
Baru-baru ini kita kehilangan Dato' Ishak. Pemergiannya adalah tanda bahawa kita telah kehilangan seorang mufti yang tenang perawakannya, lemah lembut dan berpendirian tegas. Berbekal ilmu di dada, beliau berani menyatakan kebenaran di depan pemerintah.
Kekuatan seperti ini jarang ada pada diri seorang mufti. Jika ada agamawan politik yang menegur pemerintah dan pemerintahan, nescaya hal teguran itu dihubungkaitkan dengan politik kepartiannya. Demikian juga cendekiawan parti yang menegur penguasa.
Tuduhan yang sama kerap dilemparkan oleh pemerintah. Mana-mana agamawan atau pun cendekiawan universiti akan terpaksa atau mungkin dipaksa menunjukkan sikap yang tak memihak demi mempertahankan jawatan. Tapi, hal itu tidak ada pada sosok ini. Beliau memihak hanya kepada kebenaran.
Dato' Ishak membimbing rakyat dengan cermat sekali gus menegur pemerintah dengan istiqamah. Saya masih ingat cara beliau menjawab soalan seorang penonton televisyen secara langsung tentang isu wanita memakai seluar panjang.
Bijaksana menjawab soalan
Penonton itu bertanya adakah wanita yang memakai seluar panjang itu sudah menunjukkan hal itu menyerupai lelaki? Dengan bijaksana, beliau berkata hal itu tidak menyerupai lelaki.
"Ini kerana, seluar itu bukan lagi dirujuk kepada kaum lelaki. Apabila kita melihat wanita yang memakai seluar panjang, maka tidak menimbulkan kekeliruan ke atas status jantina dan hal itu diperbolehkan mamakainya," demikianlah lebih kurang jawapan beliau.
Pada mulanya, saya mengagak beliau akan menjawab tak boleh memakainya. Ini kerana, telah wujud semacam suatu kelaziman pemikiran dalam masyarakat yang menafikan pemakaian seluar panjang bagi wanita dengan alasan pendedahan aurat.
Tapi, sikap lemah-lembut, cermat dan bijaksana beliau terserlah apabila beliau menjawab soalan itu dengan baik. Beliau tidak pula mengulas lanjut dan membahaskan masalah itu seputar hukum aurat. Jadi, timbul satu persoalan lain, apakah beliau tidak peka hal aurat ketika menjawab pertanyaan tadi?
Saya kira, sudah jelas bahawa beliau juga mempunyai nawaitu yang tinggi dalam hal itu. Jika beliau tidak peduli dan ambil pusing hal aurat, agak-agaknya kenapakah beliau telah dipecat daripada jawatan mufti hanya kerana teguran dalam isu ratu cantik?
Saya tidak perlu mengulangi kisah Dato' Ishak dengan kes ratu cantik. Hal itu sudah pun diulas dengan panjang lebar. Saya suka meneliti kisah-kisah yang jarang diungkap orang sebagai pengajaran bersama.
Sebelum melanjutkan lagi bualan ini, ada suatu sikap lain yang menurut hemat saya telah melengkapkan kewibawaan sekali gus menyempurnakan kedudukannya sebagai mufti. Di sinilah yang membezakan beliau dengan orang lain.
Iaitu, dengan izin Allah, beliau dapat menyampaikan teguran kepada rakyat dan penguasa di negara ini. Dan sikap luar biasa ini jarang-jarang ada pada agamawan lain. Yang dapat menegur rakyat bawahan itu memang ramai. Tapi, yang menegur penguasa boleh dikira dengan jari.
Sikap ini menyebabkan beliau terbuang dengan penuh kemuliaan. Beliau juga menegur rakyat dengan lembut kerana rakyat tiada kuasa. Tapi, dengan si angkuh yang bersilang dan bersimpang-siur kuasa, disanggahnya tanpa berselindung lagi.
Bersikap lembut terhadap pendokong al-Arqam
Saya masih teringat dalam isu pengharaman al-Arqam. Ketika ustaz-ustaz Umno tersengih kesukaan di atas deraian esak tangis pimpinan al-Arqam dalam suatu program rakaman mengenai pengakuan tokoh pimpinan al-Arqam, Dato' Ishak menunjukkan sikap serius, tidak berjenaka sebagai ustaz-ustaz Umno.
Raut wajahnya yang tenang itu menceritakan segalanya. Beliau seoranglah benar-benar tersentuh hatinya ketika mendengarkan rintihan pimpinan al-Arqam yang bertaubat dan kembali ke jalan yang sebenar.
Walhal ketika pimpinan al-Arqam menangis dalam rakaman itu, para ustaz Umno tampak tersenyum bangga, puas dan bongkak kerana musuh mereka (atau musuh Umno telah pun menyerah kalah). Sakit hati juga melihat rakaman itu.
Walhal, ustaz-ustaz Umno ini, untuk menegur 'bos' mereka supaya tidak digunakan ISA pun belum tentu mampu menegurnya. Dato' Ishak sungguh fokus, tumpuannya amat mendalam ketika mendengar sepatah demi sepatah isi butiran percakapan tanpa mencelah.
Ustaz Umnolah yang paling banyak bertanyakan soalan kepada wakil al-Arqam dengan tujuan agar wakil jemaah itu menjawab dengan menyatakan kekesalan mereka. Dan, Dato' Ishak cuma mendengar, tanpa bertanya sepatah apa pun jika tak silap saya.
Kalau RTM boleh putarkan semula rakaman itu, dan kalau ada soalan daripada Dato' Ishak sekalipun, pada hemat saya soalan itu bukanlah seperti soalan agamawan Umno yang seperti soalan SB untuk mencederakan perasaan dan mendera batin tahanan politik (tapol). Soalan-soalan Dato' Ishak, (jika ada) adalah berawal daripada keikhlasan beliau untuk bertanya.
Jika tak percaya sikap Dato' Ishak ini, boleh cuba dapatkan salinan RTM berhubung rakaman itu jika RTM enggan memutarkan semula kisah lama atau mereka lebih sibuk menumpukan usaha menyiarkan bahan kempen BN menjelang pilihan raya kini.
Sejak menonton rakaman dialog itulah, datang rasa hormat saya yang bertambah kepada mufti seorang ini. Bermodalkan ilmu di dada itulah beliau terus berusaha menyampaikan kebenaran tanpa takut, khuatir, dan gentar kepada apa saja.
Akhirnya di sinilah kemuncak kepada falsafah hidup yang beliau bina itu. Saya cuma agak saja. Betul atau tidak saya tidak pasti. Saya cuba menulis seikhlasnya.
Amanah besar
Daripada temu bual itu bersama Ahmad Lutfi Othman, ketika itu Ketua Pengarang Siasah, saya dapat mengagak satu perkara iaitu beliau menerima amanat besar dan pesan-pesan yang telah berkesan kepada dirinya. Pesan gurunya itu dipegangnya dengan bersungguh-sungguh pula. Seingat saya, di akhir wawancara, sama ada saya atau Lutfi bertanya beliau lebih kurang begini: "Sepanjang hidup ini, apakah hal yang Dato' jadikan sebagai pegangan?"
Dia termenung sebentar sambil kepalanya tertunduk. Agak lama dia mahu menjawab satu soalan itu. Mungkin inilah soalan yang paling mahal atau besar maknanya dalam hidup.
Kemudian dia mengangkat kepalanya dan berbicara dengan penuh hati-hati, cermat serta mendalam, penuh kekuatan dalaman saat dia mengungkapkan hal itu. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya dan kemudian menghelakan nafas beratnya kembali.
Hal itu membuatkan saya semakin ternanti-nanti, membuatkan hati bingung panasaran. Gambaran sikap ini mengingatkan saya kepada catatan Pak Rosihan Anwar, seorang wartawan veteran Indonesia ketika menggambarkan sikap Bung Hatta, pimpinan Indonesia.
Dalam salah satu kolumnya berjudul, '100 tahun Bung Hatta, pasar menentukan media' pada 2002, Rosihan menulis: "Bung Hatta adalah putera seorang guru mursyid sebuah persaudaraan sufi atau tarikat di Sumatera Barat. Nama peribadi Muhammad Hatta berasal dari Muhammad ibn Ata, ulamak sufi terkenal.
"Dari latar belakang itu dapat kita peroleh keterangan yang amat penting mengapa Bung Hatta berpenampilan seperti layaknya seorang sufi iaitu ketulus-ikhlasan, kesederhanaan, kerendahan hati dan 'kedalaman fikiran'."
Lalu, Pak Rosihan merumuskan: "Jauh di dalam lubuk hati kaum sufi ialah semangat penolakan dan pemberontakan terhadap ketidakadilan sosial."
Semua sikap di atas tercantum pada sosok Dato' Ishak Baharom. Yang ingin ditumpukan di sini ialah ketika Rosihan menulis hal 'kedalaman fikiran' yang jarang ada pada orang-orang biasa. Dan kedalaman fikiran yang membenih di hati beliau menumbuhkan semangat penolakan terhadap ketidakadilan sosial yang bergolak di jiwanya.
Dato' Ishak mendalam fikirannya
Dan, Dato' Ishak ketika ditanyakan soalan berhubung pegangannya, dia memandang ke bawah, merenung ke dalam dirinya dan seperti memikirkan sesuatu yang maha dalam.
Mungkin, inilah ciri-ciri insan yang berperwatakan 'kedalaman fikiran' itu.
Di dalam fikiran saya, akan ditemukan bahan fikiran yang amat berharga hari itu. Seperti mana beratnya 'zat' Tuhan 'tertumpah' di atas gunung tatkala Tuhan menyuruh Musa a.s melihat gunung jika mahu melihatNya. Musa a.s dan gunung memerlukan suatu kekuatan dalaman yang sungguh-sungguh untuk melihat Tuhan di dunia. Ibarat Ibrahim a.s memerlukan kedalaman fikiran untuk mengenali Allah s.w.t ketika kecil.
Tapi, Musa dan gunung sama-sama kalah. Baginda pengsan dan gunung bergegar kerana tidak punya kekuatan dalaman untuk melihat Tuhan. Insan sufi mempunyai kekuatan dan kedalaman fikiran untuk mengenali Tuhan dan Ketuhanan.
Atau, perumpamaan ini seperti kedudukan Nabi Muhammad s.a.w yang menerima wahyu sehingga baginda berpeluh kerana beratnya wahyu tersebut. Kedalaman fikiran ini hanya diberikan kepada manusia tertentu hasil kesungguhan dan keikhlasan amalannya sendiri.
Dato' Ishak, menurut hemat saya telah pun memenuhi semua itu – bekerja, belajar, serta berdakwah sepanjang usianya. Saya percaya, banyak falsafah hidupnya yang tersimpan di dadanya yang belum sempat digali dengan ribuan cangkul pertanyaan.
Mungkin juga, lama masa yang diambil bagi menjawab soalan terakhir itu digunakan sepenuhnya untuk menyelak dan membelek kembali beberapa helaian falsafah yang lama terjilid di dalam kalbunya itu. Hanya, kami yang tak sempat memunggah khazanah itu.
Sejak itulah, saya melihat beliau sebagai sebuah tanah subur kerana tidak didatangi kerana difikirkan tiada padanya khazanah. Walhal, jauh di lubuk hatinya tersimpan sebuah gedung ilmiah dan gudang pengetahuan yang tiada nilai taranya.
Kami bernasib baik kerana sempat mencangkul hikmah keluar dari dada pengetahuannya dengan beberapa soalan sebagai pencari harta karun atau insan yang tamak emas hingga sanggup berembun mendulang ilmu daripada lubuk kalbunya yang paling dalam.
Semakin dalam kami menyelami pengetahuannya semakin terasa kerdil. Benar-benar kita telah kehilangan. Insan berilmu boleh dicari di mana-mana. Tapi, sikap berani menolak hal yang bersalahan dengan prinsip ilmunya inilah yang sukar ditemui lagi.
Falsafah hidup beliau
Setelah lama daripada mengerutkan dahinya, Dato' Ishak berkata: "Saya teringat pesanan arwah guru saya yang berkata, Ishak, jangan bimbang dengan pekerjaan apa esok apabila dewasa nanti. Tugas awak belajar saja. Rezeki Tuhan dah jamin. Kerja awak belajar."
Kata Dato' Ishak, hal itulah yang menjadi pegangan dan falsafah hidupnya yang dia bawa sehingga tua. Dan pesan-pesan itu telah menimbulkan kesan buat dirinya apabila dilantik sebagai mufti di akhir-akhir hidupnya; sesuatu yang tidak terjangkau dalam fikirannya.
Sejak itu, saya rasakan itulah benih pesan yang menumbuhkan kesan dan menjadi pegangan hidup saya. Walaupun hidup terasa bergelombang dengan badai ujian, tapi rezeki tidak pernah putus. Ini yang Tuhan jamin. Kita tak perlu bimbang lagi.
Teruskanlah kehidupan dan perjuangan, bertindak mengikut gerak hati dan panduan ilham, demikian kalbu bergetar.
Saya belajar daripada beliau tentang falsafah rezeki hari itu dan selebihnya kita serahkan kepada Allah. Dato' Ishak belajar, bekerja dan berdakwah dengan tidak pernah pedulikan hal jawatan. Baginya, jawatan adalah suatu penilaian sejauhmana insan itu menjalankan urusan agama dan dakwahnya.
Pulang dari rumahnya hari itu, saya termenung dalam perjalanan pulang. Wartawan tidak akan kaya, demikianlah guru wartawan sering mengingatkan. Tetapi, jangan pernah hidup meminta-minta sehingga menjatuhkan maruah. Berjuanglah sehingga terbuang, janganlah mengampu, membodek dan hidup sebagai insan yang tidak jujur dan tidak bermaruah.
Kita orang miskin, tiada harta benda. Kalau maruah dan harga diri sudah dijual, apa lagi yang tinggal? Segala impian yang dicita-citakan wartawan menerusi penulisannya semasa hidup, mungkin terjelma melalui tangan orang lain selepas kematiannya.
Manusia mati meninggalkan nama, hulubalang mati meninggalkan kerisnya, ulamak mati meninggalkan pengetahuan, hikmah dan falsafahnya, Firaun mati meninggalkan jasadnya dan pemimpin zalim mati mengusung dosa pentadbirannya, wartawan, penulis, pujangga mati meninggalkan pesan-pesan yang akan menatijahkan kesan-kesan terhadap pemikiran rakyat dan negara selepas hayatnya.
Sultan Selangor tidak setuju Dato' Ishak dipecat
Dalam wawancara itu, Dato' Ishak berkata bahawa Sultan Selangor sendiri pernah merungut berhubung pemecatannya dahulu.
"Mereka ambil kesempatan di atas keuzuran sultan pada ketika itu dan pada waktu itulah saya dipecat," kata Dato' Ishak. "Sultan sendiri kata kepada saya, sepatut mereka tidak pecat Dato' kerana beta sendiri yang lantik Dato' ke jawatan mufti."
Daripada jawapan sultan itu, dapat diketahui kenapa arwah Dato' Ishak diberikan penghormatan untuk dikebumikan di Makam Diraja, Seksyen 9 berhampiran Masjid Negeri. Mungkin inilah salah satu penghormatan terakhir sultan kepada beliau. Ertinya, beliau meninggal dunia dalam keadaan yang dihormati oleh pemerintah negeri.
Beliau adalah pejuang yang terbilang walaupun terbuang. Kepada para pengunjung Harakah Daily yang terbaca atau membaca coretan ini, marilah kita sedekahkan sejambak wangian al-Fatihah kepada arwah almarhum ... al-Fatihah .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan