HALAMAN SANTAI

Khamis, 7 Februari 2008

Karpal mohon Haidar tarik diri



KUALA LUMPUR – Peguam Karpal Singh semalam memohon agar Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja, Tan Sri Haidar Mohamed Noor menarik diri atas alasan mempunyai pertalian keluarga dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Dalam permohonan itu, Karpal yang mewakili M.Manoharan yang kini masih ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) memberitahu saudara perempuan Haidar adalah balu kepada arwah saudara lelaki Ahmad Fairuz.

Keterangan yang dinyatakan dalam permohonan lisan tersebut, disahkan oleh Haidar dan memberitahu perkahwinan tersebut telah berakhir 30 tahun lalu.

“Memang benar perkahwinan itu wujud. Tetapi ia telah berlaku 30 tahun dahulu dan saudara perempuan saya itu telah berkahwin lalu setelah pemergian arwah,” katanya.

Bagaimanapun, Karpal dalam hujahannya tetap menyatakan walaupun perkahwinan itu telah berakhir 30 tahun lalu, hubungan tersebut pernah wujud dan dikhuatiri berkemungkinan wujud berat sebelah.

Suruhanjaya Siasatan Diraja kemudian mengarahkan peguam tersebut menghantar hujahan bantahannya sebelum memutuskan keputusan terhadap permohonan tersebut Selasa depan.

Sementara itu, anggota Suruhanjaya Tan Seri Steve Shim Lip Kiong dalam keputusan yang telah disepakati oleh seluruh anggota Suruhanjaya yang lain memutuskan mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh lagi terlibat dalam prosiding inkuiri berkenaan.

“Dengan ini, Suruhanjaya memutuskan keterlibatan Datuk Seri Anwar dalam inkuiri ini yang dilakukan melalui empat peguamnya iaitu, M.Puravelan, Oh Choong Ghi, Ravi Nekko dan Moh Yusmadi Md. Yusof ditarik balik.

“Ini berikutan keengganan beliau untuk memohon maaf kepada Suruhanjaya Siasatan berhubung kenyataan yang dikeluarkan dalam dua buah laman web termasuk laman Aliran,” katanya.

Bagaimanapun, keempat-empat peguam tersebut dibenarkan untuk mengikuti prosiding berkenaan sebagai peguam pemerhati tanpa mewakili Anwar lagi.

“Selagi anak guam kamu itu degil untuk memohon maaf, selama itu dia tidak dibenarkan menyertai inkuiri ini,” tegas Datuk Mahadev Shankar yang turut merupakan anggota Suruhanjaya.

Terdahulu, 30 Januari lepas, Mahadev dalam inkuiri hari ke-12 menafikan kenyataan yang dikeluarkan badan bukan Kerajaan, Aliran dalam laman web berhubung penolakan menerima keterangan Anwar dalam prosiding inkuiri klip video 'Lingam' adalah tidak benar.

“Dalam artikel yang dikeluarkan dalam laman web ini menyatakan Suruhanjaya Siasatan menolak untuk menerima keterangan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak benar.

“Kami telah memutuskan akan memanggil beliau memberi keterangan sekiranya perlu dan ia perlu berdasarkan kepada permohonan yang telah beliau kemukakan dahulu. Kami tidak menyatakan menolak atau tidak akan memanggilnya, cuma masih belum dipanggil.

“Sementara itu, dalam laman web yang lain pula terdapat kenyataan yang dikeluarkan menyatakan bahawa wujud manipulasi dalam proses inkuiri ini juga adalah tidak berasas dan tidak benar.

“Apa yang dijelaskan dan disebarkan dalam laman berkenaan sememangnya keterangan yang tidak relevan!

“Berhubung keterangan yang hendak diberikan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga, setelah diteliti pihak kami mendapati setakat ini ia tidak relevan. Tetapi sekiranya proses ini berlanjutan dan mendapati beliau perlu memberi keterangan, Suruhanjaya akan memanggilnya.

“Dijelaskan bahawa dalam inkuiri ini kami mahukan keterangan yang hendak diberikan berlandaskan kepada bukti-bukti yang cukup. Walaupun mereka mendakwa mempunyai bukti seperti yang kita mahukan tapi ia tidak dimaklumkan secara terus kepada Suruhanjaya, ia tetap dianggap tidak munasabah,” tegas Mahadev.

Aliran merupakan badan bukan kerajaan ditubuhkan pada tahun 1977 yang membawa objektif memperjuangkan hak asasi manusia.

Terdahulu, penjelasan mantan Hakim Mahkamah Rayuan itu adalah kerana terdapat satu artikel yang disebar dalam laman web http://www.aliran.com berkait dengan proses inkuiri berkenaan.

Artikel pertama yang dikeluarkan oleh laman web berkenaan menyatakan Suruhanjaya Siasatan menolak untuk menerima keterangan daripada mantan Timbalan Perdana Menteri tersebut.

Manakala, artikel kedua yang dikeluarkan oleh sebuah laman web yang ditulis oleh Andrew Ong menyatakan, Anwar Ibrahim dalam keterangannya kepada media memberitahu wujud situasi memanipulasi dalam proses inkuiri berkenaan.

Tiada ulasan: