Kes hutang RM370,000 Adun Tendong dilangsai sebuah syarikat
Harakahdaily
KOTA BHARU (Hrkh) – Sebuah syarikat milik seorang pemimpin Umno yang mendapat banyak projek di Kelantan dikatakan membayar hutang Adun Tendong, Mohd Fauzi Mohammad selepas diisytihar mahkamah bankrap tahun lalu.
Jumlah hutang yang dibayar kepada Ken Grounting Sdn Bhd sebanyak RM370,000 selepas Adun berkenaan gagal menjelaskannya sebelum ini.
Penyelesaian kes itu difahamkan dibuat di luar mahkamah di sini semalam.
Kes peringkat rayuan itu sepatutnya dibicarakan di dalam kamar di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini.
“Namun disebabkan ada pihak yang membayar jumlah hutang tersebut semalam menyebabkan kes itu dianggap sudah selesai,” katanya seorang peguam di sini.
Mohd Fauzi dalam kes bankrapsi itu diwakili tetuan Aishah Kamal dan Sabli manakala Ken Grounting diwakili tetuan Soo Thien Ming dan Nashrah.
Difahamkan pemimpin Umno terbabit sebelum ini meminta kesnya ditangguh dengan alasan untuk membolehkan dia menjual tanah bagi menjelaskan jumlah tuntutan tersebut.
Beliau merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah syarikat yang berhutang dengan Ken Grounting dan bukannya kes dia bertindak sebagai penjamin kepada pihak lain.
Difahamkan kes tersebut bermula sejak akhir 1990-an sebelum beliau dia bertanding di Dun Tendong pada pilihan raya umum Mac 2004.
Bagaimanapun keputusan bankrap dibuat mahkamah selepas beliau menjadi wakil rakyat di Dun Tendong.
Biar pun kes itu sudah berakhir namun mengikut sumber masih ada lagi kes-kes lain yang juga membabitkan pemimpin berkenaan.
Ekoran perkembangan tersebut nama Mohd Fauzi kemungkinan besar tercicir sebagai calon Barisan Nasional di Dun Tendong pada pilihan raya umum ke-12 ini.
Keadaan itu memberi ruang lebih besar kepada PAS bagi merebut kerusi tersebut biar pun sebelum ini Mohd Fauzi dikatakan sudah melaksanakan banyak gerak kerja bagi mengekalkan kedudukannya.
“Kehadiran calon lain yang belum dikenal lagi hati budinya memberi kelebihan kepada PAS, lebih-lebih lagi calon baru PAS di situ mempunyai kewibawaan dan berpendidikan tinggi,” kata seorang penduduk. - mj
Tiada ulasan:
Catat Ulasan