"Nazir akan dipecat jika benarkan ceramah politik" Khir Toyo
Oleh Bernama
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor hari ini memberi amaran bahawa nazir yang membenarkan ceramah politik di masjid dan surau akan dipecat serta-merta, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.
Katanya mereka tidak akan berkompromi dengan mana-mana nazir masjid yang membenarkan kegiatan tersebut diadakan di premis jagaan mereka kerana ia bukan medan politik bagi parti pembangkang atau parti pemerintah.
"Tidak kira Umno, Pas mahupun PKR (Parti Keadilan Rakyat), kalau ada ceramah politik di mana-mana masjid di Selangor saya akan pecat nazirnya serta merta," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan Menteri Besar bersama Pegawai, Ahli Jawatankuasa Masjid dan Surau di Selangor di sini hari ini.
Dr Mohamad Khir berkata perkara yang membabitkan isu agama tidak boleh dicampurkan dengan fahaman politik sebaliknya semua pihak perlu memelihara kesucian tempat ibadat itu.
Katanya, bulan lepas seorang nazir masjid di Damansara dipecat kerana membenarkan ceramah politik membabitkan sebuah parti pembangkang dengan penceramah jemputan tidak bertauliah.
Beliau juga menyeru nazir dan ahli jawatankuasa masjid supaya berusaha menarik golongan muda dan kanak-kanak mendekati rumah ibadat itu agar ia menjadi pusat aktiviti kemasyarakatan setempat.
Menurutnya aktiviti seperti pertandingan melukis, mewarna dan ruang ulangkaji boleh dianjurkan bagi menarik golongan kanak-kanak agar mendekati masjid.
"Kita mahu masjid dihidupkan dan bukan hanya untuk sembahyang semata-mata, itu lebih bermakna," katanya.
Sehingga kini, terdapat 359 buah masjid dan 1,800 surau di negeri Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan