HALAMAN SANTAI

Khamis, 7 Februari 2008

Peneroka, bekas tentera antara calon baru PAS



KOTA BAHARU: PAS mempertaruhkan antaranya peneroka dan bekas tentera sebagai muka baru menentang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-12 ini.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata senarai nama itu sudah diputuskan Badan Perhubungan PAS Pusat semalam dan hanya menunggu masa sesuai untuk diumumkan.

"Calon PAS pada pilihan raya umum ini terdiri daripada pelbagai latar belakang iaitu ulama, peguam, doktor, pakar motivasi, peneroka dan bekas tentera," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini, Rabu.

Husam berkata antara calon yang paling muda adalah seorang peguam berumur 29 tahun.
Katanya, barisan calon itu adalah yang terbaik pilihan PAS.

"Apa yang paling penting calon-calon PAS ini adalah yang diterima rakyat setempat dan mempunyai pengaruh di kawasan yang bakal ditandingi," katanya.

Beliau berkata pada dasarnya pembangkang telah bersetuju untuk menentang BN secara satu lawan satu.

"Walaupun masih belum dimuktamadkan tetapi kita yakin pertembungan satu lawan satu akan terlaksana," katanya.

Mengulas calon luar yang ditempatkan di negeri-negeri tertentu Husam berkata ini terpulang kepada keputusan parti dan enggan menjelaskan siapa pemimpin PAS yang akan bertanding di negeri terbabit.

Husam juga berkata bagi senarai calon PAS di Kelantan, Pas Pusat juga sudah menyerahkannya kepada Nik Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan.

"Apa-apa pun saudara boleh bertanyakan soal ini pada Menteri Besar, kerana senarai nama sudah diserahkan kepadanya," katanya.

Ketika ditanya apakah beliau akan kembali bertanding di Parlimen di negeri ini, Husam setakat berkata: "Tanyalah kepada Menteri Besar". BERNAMA

Tiada ulasan: