HALAMAN SANTAI

Jumaat, 21 Mac 2008

Datuk 20 cucu terima ijazah di konvokesyen USM esok


PULAU PINANG: Seorang lelaki berusia 67 tahun menjadikan kejayaan tujuh anaknya memperoleh ijazah dalam bidang masing-masing sebagai pendorong kepadanya untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) dan menggenggam segulung ijazah.

Abdul Karim Yahaya dari Kampar, Perak, bakal menerima Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Sains Pengurusan pada majlis Konvokesyen ke37 USM di sini pada hari Sabtu.

Bekas guru besar yang mempunyai tujuh anak berusia antara 23 dan 38 tahun serta 20 cucu itu berkata, beliau melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah selepas teruja melihat kesemua anaknya berjaya dalam pelajaran dan mendapat ijazah.

"Anak-anak merupakan pendorong kepada saya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ini. Mereka telah berjaya, jadi saya juga tidak mahu ketinggalan untuk bersamasama menggenggam segulung ijazah seperti mereka," katanya ketika pada sidang akhbar memperkenalkan graduan warga emas di USM di sini pada hari Jumaat.

Selain Abdul Karim, lima lagi warga emas yang mengikuti program warga emas di universiti itu akan menerima ijazah mereka pada konvokesyen yang akan dirasmikan oleh Canselor USM yang juga Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, pada hari Sabtu.

Abdul Karim berkata beliau juga mahu membuktikan bahawa usia bukan halangan untuk menimba ilmu.

"Saya mempunyai diploma dalam bidang pendidikan tetapi tidak berkesempatan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah kerana sibuk dengan kerjaya dan tanggungjawab membesarkan anak-anak.

"Esok merupakan hari yang sangat bermakna dalam hidup saya dan berharap kejayaan ini mengubah persepsi bahawa menimba ilmu bukan untuk orang muda sahaja," katanya sambil tersenyum gembira kerana seramai 42 anggota keluarganya akan hadir meraikan kejayaannya esok.

Beliau berkata lima anaknya bekerja sebagai guru dan dua lagi bekerja sebagai akauntan.

Ditanya perancangannya selepas ini, Abdul Karim berkata beliau ingin meneruskan pengajiannya ke peringkat sarjana di universiti yang sama.

Naib Canselor USM Prof Datuk Dzulkifli Abdul Razak berkata seramai 800 graduan akan menerima ijazah dan sarjana pada konvokesyen kali ini.

Beliau berkata pada konvokesyen itu USM akan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains kepada bekas Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara, Prof Datuk Mazlan Othman.

USM telah memilih dua tokoh untuk menerima anugerah Kencana Canselor iaitu angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan ratu skuasy negara Nicol Ann David kerana kejayaan mereka mengharumkan nama negara.

"Selepas kejayaan memperkenalkan program untuk warga emas, USM akan memperkenalkan program warga budaya dan warga sukan untuk melanjutkan pelajaran di universiti ini," katanya.

Dzulkifli berkata kedua-dua program itu bertujuan membolehkan penggiat seni dan juga ahli sukan melanjutkan pelajaran dalam bidang yang mereka ceburi itu. BERNAMA

Tiada ulasan: