HALAMAN SANTAI

Khamis, 20 Mac 2008

Kerajaan baru P.Pinang beri jaminan kesucian agama Islam dipelihara


BUTTERWORTH: Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baru hari ini memberi jaminan kepada umat Islam di negeri ini bahawa ia akan memelihara dan menghormati kesucian agama Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Timbalan Ketua Menteri Mohammad Fairus Khairuddin berkata, kerajaan negeri akan sentiasa berusaha mengambil pendekatan yang berhemah dan memperbaiki aktiviti yang boleh meningkatkan syiar Islam.

"Semua perayaan agama Islam akan diteruskan di Pulau Pinang malahan program sambutannya akan diperbaiki dari semasa ke semasa," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Tapak Ekspo Seberang Jaya, di sini.

Katanya, kesungguhan kerajaan campuran DAPParti Keadilan Rakyat (PKR) itu terbukti dengan kehadiran Ketua Menteri Lim Guan Eng dan rombongan Exconya pada majlis itu yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas.

Beliau berkata langkah itu jelas menunjukkan rasa hormat bangsa lain kepada agama Islam.

Pada majlis itu, Mohammad Fairus menyeru umat Islam supaya berpegang kuat kepada semangat persaudaraan bagi melahirkan masyarakat yang saling menghormati antara satu sama lain dan sekaligus mengangkat martabat umah.

Beliau juga mahu melihat generasi muda mencontohi akhlak mulia Rasulullah S.A.W dan menjadikannya sebagai pedoman hidup mereka.

"Kita mahu generasi muda menjadi generasi "Alkhairiyul Amin" iaitu generasi yang kuat imannya, baik akhlaknya, gagah moralnya, tinggi ilmunya serta boleh berusaha memajukan segenap aspek kehidupan," katanya.

Beliau juga menaruh harapan supaya generasi itu dapat menonjolkan kemampuan yang cemerlang dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sukan serta mengharumkan nama negeri dan negara.

Ketika berucap merasmikan majlis sambutan itu, Abdul Rahman menyeru umat Islam agar kembali kepada tuntutan agama dan menjadikan empat sifat Rasulullah sebagai panduan menjana semula kegemilangan ummah.

Empat sifat berkenaan iaitu "akhlak dan tingkah laku terpuji, keperibadian yang sempurna, tutur bicara yang selari dengan tindakan dan perbuatan serta bijaksana dan hikmah dalam tindakan," telah menjadi resepi kejayaan Rasulullah dan ia boleh dijadikan panduan sama ada oleh umat Islam mahupun yang bukan beragama Islam, katanya.

Pada majlis itu, Abdul Rahman turut menyampaikan beberapa anugerah antaranya, Tokoh Maulidur Rasul kepada Imam Masjid Kampung Baru Tasek Gelugor, Said Saaban dan Anugerah Guru Cemerlang kepada Pengetua SMKA Daeratul Maarifil Wataniah, Hassim Salleh.

Selain itu, tiga orang pelajar menerima Anugerah Pelajar Cemerlang iaitu Muhamad Shahril Mohd Nasir dan Muhammad Bazli Rosli, yang masingmasing mendapat 9A dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) serta Mohd Anis Mohamad Lutfi yang mendapat 9A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memperoleh Mumtaz (Kepujian) pada Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). BERNAMA

Tiada ulasan: