Guan Eng minta PM buat laporan polis
BUTTERWORTH: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada hari Khamis meminta Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat laporan polis jika mempunyai bukti bahawa parti pembangkang "membeli" Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menjatuhkan kerajaan.
Beliau berkata perkara sedemikian harus dilaporkan kepada polis kerana ia merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang dan boleh dianggap sebagai amalan rasuah.
"Kalau ada bukti, saya harap beliau boleh tunjukkan supaya tindakan boleh diambil," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Tapak Ekspo Seberang Jaya, di sini.
Setiausaha Agung DAP itu juga turut menafikan bahawa partinya terlibat dalam kegiatan seumpama itu.
Akhbar-akhbar hari ini memetik Abdullah sebagai berkata beliau sedar mengenai cubaan membeli Anggota Parlimen BN dan menegaskan bahawa tidak ada sebab untuk kerajaan yang diterajuinya ditumbangkan kerana kerajaan BN kuat dan mendapat sokongan rakyat.
Akhbar juga melaporkan bahawa pakatan pembangkang yang memenangi 82 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum 8 Mac lepas dikatakan sedang berusaha menarik beberapa Anggota Parlimen parti komponen BN di Sabah dan Sarawak untuk mencapai majoriti mudah dalam Dewan Rakyat sekali gus membentuk kerajaan.
Ketika ditanya sama ada Kerajaan Negeri pakatan DAP-PKR itu akan membuat sebarang rombakan kepada beberapa agensi kerajaan negeri seperti Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Bhd (PBAPP), Lim menegaskan bahawa perkara itu hanya akan dilakukan jika difikirkan perlu.
Bagaimanapun, setakat ini, kerajaan negeri tidak mahu menimbulkan sebarang keresahan dalam kalangan semua pihak dan tidak mahu terburuburu untuk melakukankan rombakan itu, katanya.
Sementara itu, Lim melahirkan kegembiraan kerana dapat menghadiri sambutan Maulidur Rasul hari ini dan ini menunjukkan sikap kerajaan negeri pimpinannya yang menghormati semua agama yang dianuti rakyat negeri ini. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan