HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Mei 2008

Shabery: Siaran langsung Parlimen dikaji semula


KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan mungkin mengkaji semula siaran langsung persidangan Dewan Rakyat berikutan sesi soal jawab lisan hari ini yang sering terganggu apabila beberapa Anggota Parlimen sentiasa mempersoalkan peraturan mesyuarat.

Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata siaran langsung selama setengah jam menerusi saluran RTM1 itu adalah percubaan sahaja dan beliau akan mendapatkan maklumat balas daripada semua pihak termasuk orang ramai sebelum membuat sebarang keputusan.

"Saya akan bincang sama ada kita masih memberi peluang kepada Anggota Parlimen untuk menggunakan sebaikbaiknya Parlimen dan siaran langsung yang diberikan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas demikian setelah beberapa anggota pembangkang sering mempersoalkan peraturan mesyuarat menyebabkan sesi soal jawab lisan selama satu setengah jam hanya sempat mendengar tiga soalan berbanding 12 hingga 15 soalan pada kebiasaannya.

Ahmad Shabery berkata kementerian tidak akan menambah masa siaran langsung persidangan Dewan Rakyat.

"Saya sedar di negaranegara lain yang mengadakan siaran langsung secara penuh terutama sekali dalam negara dunia ketiga, inilah masalahnya.

Anggota Parlimen tidak menumpukan perbincangan pada perkara yang penting kepada rakyat dan negara.

"Masing-masing hanya ingin menunjukkan kepentingan diri mereka, tentang peribadi mereka dan untuk tunjuk orang di luar sana tentang diri mereka, bukan negara," katanya.

Beliau berkata masa siaran langsung mungkin boleh dilanjutkan hanya jika Anggota Parlimen terutamanya pembangkang menunjukkan kematangan berfikiran secara kelas pertama.

"Mungkin ada rakyat suka tengok sarkas tapi Parlimen bukannya sarkas," katanya.

Beliau mengakui kecewa apabila pihak pembangkang tidak menghargai dan menyalahgunakan institusi Parlimen semasa persidangan hari ini.

"Institusi Parlimen ialah untuk berbincang dan mencari yang terbaik untuk rakyat tetapi hari ini digunakan untuk mencari publisiti murah, menimbulkan perkara yang remeh- temeh," katanya.

Ahmad Shabery berkata tindakan pembangkang itu akan menyebabkan rakyat rasa tertipu dan secara jelas menyalahgunakan mandat yang diberikan.

Ketika ditanya sama perbuatan pembangkang hari ini menunjukkan sikap sebenar mereka, beliau berkata:

"Banyak lagi warna lain yang tersembunyi. Ini hanyalah sebahagian kecil daripada warna sebenar mereka." BERNAMA

Tiada ulasan: