HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Jun 2008

Anwar mahu bertanding pilihan raya segera
Harakahdaily


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Penasihat Parti KeADILan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau akan bertanding bagi kerusi Parlimen 'dengan segera' sebaik-baik sahaja kelayakan beliau untuk berbuat demikian disahkan pihak berkuasa.

"Jika saya sudah benarbenar pasti tentang kelayakan saya, saya akan memilih untuk berbuat demikian seberapa segera,' kata beliau semasa diwawancara oleh Bloomberg Television semalam yang dipetik oleh KLpos.

Anwar berkata beliau belum lagi menerima pengesahan rasmi bahawa beliau layak memegang jawatan awam selepas menjalani hukuman penjara atas tuduhan rasuah yang hingga kini dinafikan beliau.

Anwar, 60, berulang kali mendakwa bahawa pakatan tiga parti pembangkangnya telah mendapat 30 anggota parti campuran Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Abdullah Ahmad Badawi, yang telah belot dan menyertai pakatan pembangkang untuk membolehkan beliau mengambil alih kuasa.

Beliau juga berkata beliau akan berbincang dengan rakan-rakannya mengenai siapakah yang akan menjadi Timbalan Perdana Menterinya dalam pentadbiran yang bakal beliau pimpin.

"Isunya sekarang ialah untuk memastikan adanya peralihan kuasa yang licin, menurut peruntukan perlembagaan," kata Anwar.

KeADILan yang dipimpin beliau, DAP dan PAS menguasai lima daripada 13 negeri di Malaysia dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu - prestasi terbaik pembangkang sejak Malaysia merdeka daripada Britain pada 1957.

Mengenai subsidi minyak, Anwar berkata Malaysia boleh mengurangkan cukai petrolnya untuk menurunkan harga minyak, serta membangunkan sistem subsidi yang boleh membawa manfaat kepada penduduk miskin dan bukan mereka yang bergaji RM5,000 atau RM10,000 sebulan. - mks.

Tiada ulasan: