Maklumat ibu tunggal era BN diragui
Saidah Hairan
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Exco Kebajikan Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Rodziah Ismail meragui kebenaran maklumat yang diperolehi daripada kerajaan Umno-BN berhubung jumlah ibu tunggal mengikut daerah di negeri Selangor.
Menurut beliau, jika mengikut maklumat daripada kerajaan terdahulu, jumlah ibu tunggal tahun 2007 di Gombak 1037 orang; Petaling 608 orang; Hulu Langat 187 orang; Kuala Langat 862; Klang 642; Sepang 200 dan Kuala Selangor 5710.
"Tetapi baru-baru ini saya ke Hulu Selangor dan mendapati jumlah ibu tunggal di situ menjangkau 4000 orang," katanya.
Justeru, tambah beliau, cadangan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo serta Adunnya yang ingin membantu mendapatkan maklumat ibu-ibu tunggal dialu-alukan.
Anehnya, kata beliau ketika Umno-BN memerintah golongan ibu tunggal tidak ramai tetapi apabila Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan semua Adun Umno-BN bersungguh-sungguh mahu membantu mencari ibu-ibu tunggal.
Menurut beliau, pimpinan Pakatan Rakyat amat faham dan berkebolehan untuk mentadbir urus kewangan negeri bukan seperti kerajaan Umno-BN yang hanya pandai menghabiskan duit rakyat semata-mata.
Rodziah berkata, kerajaan Selangor bukan saja menjanjikan kebajikan semata-mata tetapi telah menggariskan cara yang terbaik untuk memastikan objektif negeri akan tercapai.
Katanya, exco kebajikan dan agensi kerajaan negeri, malah wakil rakyat di peringkat Pusat menekankan beberapa pendekatan untuk memgenal pasti dan mewujudkan mekanisme penyaluran bantuan kebajikan kepada golongan sasaran secara berkesan. - mns
Tiada ulasan:
Catat Ulasan