Kerajaan negeri sedia jadi penjamin setinggan
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor bersedia menjadi penjamin bank kepada penghuni setinggan yang ingin membuat permohonan pinjaman bagi membeli kediaman sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, pendekatan tersebut adalah langkah segera kerajaan negeri bagi mengatasi masalah setinggan sepenuhnya.
“Kebanyakan mereka (penghuni setinggan) mahu membeli kediaman sendiri tetapi berhadapan dengan masalah membuat pinjaman bank.
“Menerusi pendekatan ini (menjadi penjamin), kita yakin usaha mengatasi masalah setinggan dapat diatasi peringkat demi peringkat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Bagaimanapun, kata Iskandar, syarat tersebut hanya untuk membantu golongan setinggan yang nama mereka disenaraihitamkan pihak bank.
“Sekiranya ia berpunca akibat kesalahan teknikal seperti disenaraihitamkan atas kapasiti sebagai penjamin, kita bersedia menjadi penjamin bagi memudahkan proses kelulusan pinjaman dibuat,” katanya.
Dalam masa sama, katanya, bantuan lain turut disalurkan termasuklah meneruskan pemberian elaun perpindahan seperti dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini (Barisan Nasional) berjumlah RM500 hingga RM2000.
Iskandar juga memberitahu, pendekatan bantuan itu juga lebih tertumpu kepada kawasan penempatan setinggan yang telah diambil alih untuk tujuan pembangunan khususnya di Kampung Pandan dengan lebih 10 buah rumah setinggan yang mendiami tapak sub stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Keperluan memindahkan mereka ke kawasan kediaman baru perlu disegerakan dan bagi golongan setinggan yang benar-benar tidak mampu untuk memohon pinjaman memberi rumah kos sederhana bernilai RM35,000, kita akan gunakan alternatif lain termasuk cuba membantu dengan memberi pilihan menyewa dengan kadar berpatutan.
“Pendekatan kerajaan sebelum ini iaitu memindahkan mereka ke rumah kos rendah dan penempatan sementara akan diteruskan namun pendekatan baru ini (menjadi penjamin) diyakini mampu mengatasi masalah setinggan secara lebih praktikal,” katanya.
Menurut Iskandar, berdasarkan bancian terakhir bertarikh 7 Mei lalu, lebih 10 penempatan setinggan dengan jumlah penduduk melebihi 2,000 direkodkan. Daripada jumlah itu, sebanyak 0.6 peratus yang masih berada di tapak kerana berhadapan masalah pinjaman bank dan penempatan sementara yang belum selesai.
“Seramai 268 keluarga telah membawa kes mereka ke mahkamah sementara setinggan yang lain masih menunggu penyelesaian masing-masing,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan