'Mereka bersikap biadab'
Oleh RAIS YEOP JOHARI
SEREMBAN - Disebabkan perangai biadab segelintir pelajar Afrika beberapa pelajar tempatan berasa tidak puas hati sehingga tercetus pergaduhan.
Demikian dakwa seorang pelajar perempuan kolej swasta dekat Mantin, di sini yang mahu dikenali Mira berhubung insiden pergaduhan yang berlaku di luar kediaman kolej tersebut bermula pukul 9.30 malam dan 2.30 pagi kelmarin.
Penuntut Diploma Kejuruteraan Mekanikal dan sudah dua tahun menetap di asrama kolej itu berkata, antara perangai biadab yang kurang disenangi termasuklah suka memandu laju dan mengganggu pelajar lain.
"Tidak semua pelajar negara asing itu berperangai sedemikian kerana terdapat dua kumpulan Afrika di kolej itu, bagi yang beragama Islam mereka lebih beradab dan membuat hal masing-masing dan tidak menganggu pelajar.
"Tetapi kumpulan yang satu lagi, dilihat macam kumpulan samseng berjalan dalam kumpulan yang ramai dan suka kacau pelajar perempuan selepas kuliah, inilah yang membuat pelajar berasa tidak senang.
"Satu lagi apabila mereka menyewa kereta, suka memandu laju di pekarangan kolej yang boleh membahayakan nyawa pelajar lain. Mungkin mereka nak bergurau, tetapi cara itu tidak kena. Biarpun ada aduan pelajar mengenai hal itu, pihak pengurusan kolej tidak layan sebab ia berlaku di luar kolej dan asrama," katanya ketika ditemui di pekarangan asrama kolej berkenaan di sini semalam.
Pada kejadian malam kelmarin, Kosmo! melaporkan pergaduhan kira-kira 30 pelajar Afrika dan 100 pelajar tempatan serta disertai penduduk tempatan.
Kekecohan itu berlaku selepas pelajar tempatan didakwa tidak berpuas hati dengan hubungan seorang pelajar Melayu dengan seorang pelajar Afrika di kolej tersebut.
Ketika ditanya mengenai hubungan cinta kolej di antara pelajar lelaki Afrika dan pelajar perempuan antara penyebab pergaduhan itu, Mira menjawab:
"Kalau bertepuk sebelah tangan ia tak berbunyi jadi terpulang kepada mereka, itu hak masing-masing.
"Mungkin cinta yang tak dilayan menyebab mereka suka ganggu pelajar perempuan di sini hingga merimaskan dan mengadu kepada rakan lelaki yang sekuliah dan marah dengan gangguan itu menyebabkan tercetus pergaduhan," katanya.
Sementara itu, seorang pelajar lelaki, Mohd. Hadi, 19, memberitahu, orang luar mungkin nampak isunya remeh tetapi 'darah muda' sesetengah pelajar lelaki di sini yang amat berang dengan sikap melampau pelajar asing itu.
"Dalam pada itu, seorang pelajar Afrika, Madunagu, 23, yang hairan berkata:
"Saya tidak tahu kenapa (mereka tidak disenangi). Saya datang di sini untuk belajar bukan bergaduh dan kami berhak bersosial selepas kuliah. Lagi pun kami datang ke negara ini bukan secara haram.
"Jika ada pelajar di kalangan kami mahu menjalinkan persahabatan itu hak mereka," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan