HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Jun 2008

Kereta tempatan disedia tali pinggang keledar percuma?


KUALA LUMPUR: Kerajaan dan pengeluar kereta tempatan telah mencapai persetujuan untuk menyediakan dan memasang tali pinggang keledar di bahagian belakang kenderaan secara percuma bagi kereta buatan tempatan tidak lama lagi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Keat berkata, perjanjian berhubung perkara itu telah dirumuskan dan memorandum persefahaman antara kerajaan dan pengeluar dijangka ditandatangani dalam beberapa hari lagi.

"Kami telah memperincikan perkara ini secara sistematik kerana ia melibatkan wang dan juga kejuruteraan.

"Kami berharap inisiatif ini akan mengurangkan beban orang ramai berikutan peraturan mensyaratkan pemakaian tali pinggang keledar bagi penumpang di bahagian belakang kenderaan mulai hari ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran lukisan Cina hari ini.

Kata beliau, kerajaan juga sedang bekerjasama dengan sektor korporat untuk menubuhkan tabung bagi mensubsidikan kos pemasangan tali pinggang keledar di bahagian belakang kenderaan.

Mulai hari ini, penumpang bahagian belakang kereta disyaratkan memakai tali pinggang keledar.

Selepas tempoh kelonggaran selama tiga bulan, mereka yang didapati tidak mematuhi undang-undang baru itu akan dikenakan denda.

"Saya ingin menasihatkan penumpang kereta supaya memakai tali pinggang keledar dan pemilik kereta yang masih belum memasang tali pinggang supaya segera berbuat demikian dan tidak menunggu hingga saat akhir," katanya.

Kerajaan juga memberikan tempoh tiga tahun kepada pemilik kereta untuk memasang tali pinggang keselamatan itu.

Kini, hampir 90 peratus kenderaan dilengkapi tali pinggang berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Naib Presiden MCA dan pengerusi MCA Selangor berkata beliau akan berjumpa dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bagi mendapatkan butiran mengenai kejadian minggu lepas membabitkan sekumpulan samseng menyerang penduduk Bandar Mahkota yang cuba mengalihkan penghadang konkrit yang dibina oleh Grand Saga Sdn Bhd, syarikat konsesi Lebuh Raya Cheras-Kajang.

Kontroversi itu berakhir pada Jumaat berikutan keputusan Kabinet untuk membenarkan jalan pintas tanpa tol ke Lebuh Raya Cheras-Kajang itu dibuka sehingga kes itu diselesaikan di mahkamah. BERNAMA

Tiada ulasan: