'Orang dalam' larikan 3kg ketamin dikenal pasti
Oleh Hussain Said dan Nik Sukry Ramli
KUALA LUMPUR: Polis sudah mengenal pasti orang dalam yang melesapkan kira-kira tiga kilogram (kg) ketamin dari bilik simpanan barang bukti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar, berkata siasatan masih diteruskan termasuk menyemak buku daftar masuk ke bilik berkenaan sebelum tindakan diambil terhadap pihak terbabit.
"Kita akan ambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi jika terbukti ada anggota kita mempunyai kaitan dalam kes ini," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Ditanya sama ada kes itu membabitkan pegawai atau anggota biasa di IPD berkenaan, Ismail yang enggan mendedahkan identiti orang dalam terbabit berkata: "Yang penting kita sudah mengenal pasti mereka dan kes ini dianggap selesai."
Kelmarin, Berita Harian melaporkan kehilangan dadah itu disedari seorang pegawai yang menjalankan pemeriksaan di bilik berkenaan, Sabtu lalu.
Dadah yang lesap itu dipercayai sebahagian daripada 30.32 kg ketamin bernilai RM1.2 juta yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis perniagaan dan sebuah rumah di Rantau, Negeri Sembilan, pada 26 Mei lalu.
Berikutan itu, dua laporan polis dikatakan dibuat berhubung kehilangan barang kes berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan teliti berhubung kehilangan dadah itu sebelum laporan lengkap diserahkan kepada Bukit Aman.
"Saya mengesahkan berlaku kekurangan (jumlah dadah yang dirampas) dan siasatan terperinci dari segenap aspek sedang dilakukan," katanya.
Ini bukan kejadian pertama dadah yang dirampas polis dilaporkan hilang dari bilik simpanan barang bukti.
Tiga tahun lalu, 49,000 daripada 60,000 pil psikotropik yang dirampas dilaporkan hilang ketika dalam simpanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Selangor.
Pada Mei 2006 pula, 1,168 pil kuda, 7.5 gram heroin, 400 mililiter ubat batuk hilang dari bilik simpanan barang bukti IPD Kota Bharu, Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan