Syarikat bas dapat subsidi diesel 100 peratus
Oleh Nahar Tajri dan Basir Zahrom
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersetuju menambah kuota diesel subsidi sehingga 100 peratus kepada syarikat bas, berbanding 70 peratus sebelum ini bagi meringankan beban sektor itu.
Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Mohd Zain Mohd Dom, berkata persetujuan itu dicapai selepas kementerian mendapati diesel subsidi yang diperuntukkan sebelum ini tidak digunakan sepenuhnya.
Beliau berkata, pada masa ini pengusaha bas diperuntukkan tiga bilion liter diesel subsidi, tetapi hanya satu bilion liter digunakan.
“Saya tidak tahu apa masalahnya sehingga dua bilion liter itu tidak digunakan, tetapi berdasarkan fakta itu kerajaan bersetuju memenuhi permintaan Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) supaya diesel subsidi itu diberi 100 peratus,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sebelum itu, Presiden PMBOA, Datuk Mohamad Ashfar Ali, berkata persetujuan penambahan kuota itu disampaikan wakil kementerian itu dalam pertemuan dengan persatuan berkenaan, pagi semalam.
“Kami diarah membuat permohonan di pejabat KPDNHEP negeri masing-masing atau terus ke Putrajaya,” katanya.
Mengenai kadar baru tambang bas, beliau berkata perkara itu akan diputuskan kerajaan kerana ia sudah dibincangkan sebelum kenaikan harga minyak yang diumumkan Rabu lalu.
Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pakej penstrukturan semula subsidi membabitkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen seliter iaitu daripada RM1.92 kepada RM2.70, manakala harga diesel dinaikkan RM1 daripada RM1.58 kepada RM2.58, berkuat kuasa kelmarin.
Bagaimanapun, Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia, Chee Ah Tey, berkata pihaknya tetap mengenakan caj tambahan RM10 hingga RM50 mulai Isnin ini sehingga keputusan penambahan kuota diesel subsidi dilaksanakan sepenuhnya.
“Berdasarkan kuota yang diberi setakat ini, memanglah tidak mencukupi kerana ia hanya bersamaan dengan 570 liter berbanding purata 1,000 liter yang diperlukan setiap bas.
“Kita juga berharap kerajaan akan mempertimbangkan memberi bantuan bagi meringankan pengusaha 750 bas sekolah yang masih menggunakan petrol kerana mereka tidak diberi sebarang subsidi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan