HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Januari 2015

Bantah monopoli MyEG, Zahid perlu dialog dengan majikan

DAP-Seputeh-Teresa-Kok

Roketkini.com 


KUALA LUMPUR: Sekiranya perkhidmatan MyEG diterima seperti yang didakwa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi, tiada sebab ia takut bersaing dengan kaunter manual khidmat imigresen, kata Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Kata Teresa, pembukaan semula kaunter imigresen bagi memperbaharui Permit Lanjutan Kerja Sementara (PLKS) yang diumum Zahid Hamidi semalam tidak menyelesaikan rungutan majikan, iaitu monopoli MyEG.

“Majikan meminta mereka dibenarkan memperbaharui permit, sama ada melalui kaunter imigresen atau khidmat atas talian MyEG.

“Jika proses PLKS MyEG bagus dan cekap, tak ada sebab majikan ini tidak gembira,” kata teresa dalam satu kenyataan.

Pada 10 Januari lalu, KDN mengarahkan pembaharuan permit atas talian atas alasan bagi memeriksa penyalahgunaan dan memendekkan proses permohonan kepada satu atau dua hari bagi mengurangkan kesesakan di kaunter jabatan imigresen.

Namun, usaha itu tidak disambut baik, kerana para majikan perlu membayar RM38 bagi setiap pembaharuan.

Sekiranya bayaran dikenakan ke atas 2.4 juta pekerja asing di Malaysia, MyEG dijangka mendapat hasil mencecah RM90 juta.

“Justeru itu, saya seru Zahid untuk kembali buka kaunter manual secara kekal untuk selesaikan semua kontroversi yang berlanjutan sejak 5 Januari lalu.

Zahid yang juga Naib Presiden UMNO baru-baru ini diserbu seorang majikan ketika melakukan lawatan ke Jabatan Imigresen kerana tidak berpuas hati dengan khidmat MyEG.

Ekoran pelbagai rungutan pengguna, Jabatan Imigresen hari ini mengumumkan pembukaan kaunter-kaunter imigresen sementara sehingga 28 Februari.

“Para majikan tidak gembira akibat masalah tidak celik IT. Sebab itu kaunter manual imigresen hanya mahu dibuka sehingga Februari.

“Sepatutnya, Zahid berbincang dengan persatuan majikan untuk memahami rungutan mereka, lebih-lebih berhubung penentangan mereka terhadap monopoli MyEG.

“”Zahid kena tanya diri sendiri kenapa para majikan,” kata Teresa.

Tambahnya, Zahid harus menjawab rungutan majikan-majikan itu. Beliau juga harus menjawab pertanyaan pembangkang yang tidak dihiraukan sekian lama.

“Apakah tindakan memberikan kuasa pembaharuan permit kepada sektor swasta boleh mengancam keselamatan negara disebabkan data biometrik terlibat.

“Jika dia tak boleh jamin keselamatan negara tak akan terancam, dia wajib nasihat Kementerian Kewangan untuk mansuhkan pengambilan sumber luar,” kata Teresa. – Roketkini.com

Tiada ulasan: