Pentadbiran Najib sebagai Menteri Kewangan juga didakwa menyebabkan hutang rasmi menecah tahap 80 peratus KKNK.
PETALING JAYA: “Najib gagal sebagai PM,” dakwa Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz dalam serangan terbarunya ke atas Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dengan mengaitkan prestasi Perdana Menteri itu dengan kedudukan ekonomi dan kewangan negara.
Menurutnya, Najib gagal sebagai pemimpin negara yang mempunyai kepimpinan, hala tuju dan pengisian makna dan menyoal Malaysia ingin menjadi sebuah “negara koro atau berjaya?”
Beliau berkata, jika ada sesiapa pihak mengatakan bahawa Najib meruakan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan terbaik, secara sinis cadangnya, pihak terbabit wajar membuat pemeriksaan doktor.
Mohd Ariff Sabri yang terkenal sebagai blogger sakmongkol.blogspot.com juga mendakwa Mohd Najib gagal secara mutlak sebagai Menteri Kewangan atas beberapa alasan.
Dalam entri terbaru blognya yang berjudul Menilai Najib, beliau menyatakan, kegagalan utama Menteri Kewangan itu ialah hutang sektor awam meliputi hutang rasmi dan tidak rasmi kerajaan, tanggungan melalui surat sokongan, pendanaan tidak bertulis yang didakwa mencecah paras 75 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KNK).
Bagaimanapun bekas Ketua Penerangan UMNO Pekan itu kemudiannya mendakwa, “Kita tidak tahu” selepas menyatakan segala butiran hutang yang didakwa mencecah 75 peratus KNK.
Wakil rakyat DAP itu mendakwa hutang negara pada masa ini dianggarkan mencecah RM800 billion yang merangkumi RM500 billion hutang rasmi, RM170 billion tanggungan kontingen dan tanggungan mellaui surat sokongan antara RM100-200 billion.
Mohd Ariff Sabri mengandaikan: “Jika ekonomi kita lebih sedikit dari RM1 trillion, (RM1000, 000,000,000) hutang kita sudah menuju kepada tahap 80 peratus KNK).”
Lantaran itu dakwanya, Perdana Menteri akan mencetak wang daun pisang seperti yang dilakukan oleh pemerintah Jepun akibat kejatuhan nilai wang pada masa itu disebabkan apa yang dikatakan sebagai “Muflis negara kita. Mata wang kita tidak ada harga.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan