SHAH ALAM: Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam status terkininya di
Facebook berkongsi mengenai kegigihan bapanya dalam mendidik anak-anak.
Status terbaru lewat malam tadi Ahli Parlimen Pasir Mas itu, selepas
Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu beliau teringat mengenai solat
Jumaat.
Beliau berkata, pemimpin berusia 84 tahun itu akan memastikan
anak-anaknya bersamanya ke masjid lebih awal, ada kala pukul 12 tengah
hari.
"Dan hingga ke saat ini, dari atas katil ini, dalam tua rentanya,
ayahanda terus mendidik kami menghargai nilai masa dan waktu," katanya.
Menceritakan lebih lanjut, kata Nik Abduh, ketika tiba di masjid, hanya
mereka sahaja di situ malahan imam, bilal, siak dan khariah lain juga
tiada lagi.
"Kami terhangguk-hangguk menanti tok bilal azan, tersengguk-sengguk
menanti tok imam kampung menghabiskan khutbah dan bergeliat menanti
'tamatnya' paksaan beragama masa kecil.
"Ayahanda d hadapan tuhannya, solat, baca al-Quran, sujud dan paling
saya tak faham, diam, diam dan diam, sehinggalah azan berkumandang,"
menurut status itu lagi.
Setakat semalam, kesihatan Nik Aziz yang dirawat di Unit Rawatan Rapi
(ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian semakin
pulih.
Nik Abdul Aziz, dimasukkan ke hospital Isnin lepas kerana tahap
kesihatannya merosot ketika banjir baru-baru ini, selain menghidap
kanser prostat.
Beliau merupakan menteri besar Kelantan kelima yang memegang jawatan itu dari 1990 hingga 2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan