Idris Haron Idris Haron
 
 
JASIN – Pengurangan penyediaan makanan semasa mesyuarat adalah antara perincian Kerajaan Melaka dalam langkah penjimatan kos pengurusan, susulan keadaan negara yang berdepan perubahan ekonomi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan perbelanjaan secara berhemah dengan mengurangkan penggunaan bekalan utiliti, tuntutan kos perjalanan dan penyediaan makanan semasa mesyuarat atau majlis.

“Langkah penjimatan ini sedang direncanakan dan diyakini boleh diperincikan pada minggu depan. Banyak perkara akan dilihat daripada yang utama sehingga perkara kecil, antaranya  penggunaan kenderaan, makanan dan bekalan utiliti tidak boleh berada sehingga ke tahap pembaziran,” katanya, di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau melihat langkah penjimatan harus dilaksanakan secara seimbang untuk memberi kesan positif terhadap perkembangan kitaran ekonomi negeri.

Idris turut berharap supaya seluruh rakyat di negeri ini bersatu padu dalam melakukan pelbagai langkah penjimatan serta menyokong aktiviti ekonomi domestik seperti pembelian barangan buatan Malaysia untuk mengukuhkan nilai ringgit.