Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
KUALA KRAI : Umno Kelantan kesal dengan penolakan kerajaan negeri yang
dipimpin oleh PAS untuk kekal bekerjasama dalam soal membangunkan rakyat
dan negeri tersebut.
"Yang mereka (PAS Kelantan) lihat adalah kerjasama sekadar untuk
menyelesaikan masalah sekarang (pasca banjir). Kita tidak nampak
keikhlasan mereka untuk menangani masalah-masalah lain selepas dari
banjir," demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Datuk
Norzula Mat Diah.
Norzula berkata demikian sebagai mengulas keengganan PAS Kelantan untuk
membentuk kerajaan gabungan bersama kerajaan pusat Umno-Barisan
Nasional (BN) atas usaha memajukan negeri itu.
Sebelum ini Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menegaskan
kerjasama Umno-PAS pada masa ini hanya terhad melalui Jawatankuasa
Bersama Menangani Pasca Banjir yang dipengerusikan bersama oleh beliau
dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa
Mohamad.
Menerusi wawancara khas bersama Antarapos, baru-baru ini, Norzula
kemudiannya berkata usaha gabungan itu perlu diadakan memandangkan
Kelantan merupakan sebuah negeri yang masih lemah dalam pelbagai aspek
pembangunan dan kemajuan.
"Kelantan agak terkebelakang berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.
Malah kita sendiri merasakan kemunduran kemudahan asas, contohnya
jalan-jalan bertar yang perlu lagi dirancang dan dibina demi kemudahan
kepada rakyat.
"Mereka (PAS Kelantan) tidak merasa tercabar, sekaligus merasakan tidak
perlu bersama Umno-BN kerana berfikiran bahawa kerajaan pusat akan buat
segala-galanya.
"Yang kita lihat adalah mereka ini hanya pandai berjanji, letak batu
asas, tetapi pelaksanaannya tiada. Peliknya, rakyat negeri ini tidak
pula marah. Tetapi jika BN yang buat begitu, mereka pandai pula marah,"
ujar Norzula.
Ketua Pembangkang DUN Kelantan itu seterusnya menggesa sikap ego yang
ada di dalam diri pemimpin-pemimpin parti Islam itu segera ditepis
kerana ia akan memberi kesan buruk terhadap apa yang diinginkan oleh
rakyat Kelantan.
Apatah lagi dengan banjir paling buruk yang melanda negeri Cik Siti Wan
Kembang itu pada penghujung Disember lalu, semestinya akan
memperlahankan lagi pembangunan negeri dan rakyatnya.
Tambah Norzula, tidak mustahil Kelantan akan dilihat beberapa puluh tahun terkebelakang selepas ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan