PRK Permatang Pauh
 
 
 
KUCHING - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan layanan sama rata bagi PRK Parlimen Permatang Pauh dan Parlimen Rompin yang akan diadakan Mei depan.
  
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk menguruskan serta membantu kedua-dua PRK berkenaan supaya berjalan lancar dan tiada insiden yang boleh mengganggu perjalanan pilihan raya itu.
  
"Saya faham situasi di Parlimen Permatang Pauh, dua kali saya berada pada pilihan raya di situ. Biarpun situasi di Parlimen Rompin mungkin berbeza, PDRM akan mengambil pendekatan sama untuk membantu perjalanan kedua-dua pilihan raya ini.
  
"Polis akan pastikan bahawa mana-mana parti yang terlibat bertanding di dalam PRK itu mematuhi arahan polis," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada pegawai-pegawai serta ketua-ketua polis daerah negeri di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.
  
Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman dan timbalannya, Datuk Dr Chai Khin Chung.
  
Noor Rashid berkata, pihaknya akan memastikan bilangan anggota yang cukup untuk bertugas di pusat penamaan calon, tempat pembuangan undi, pengiraan undi dan memastikan bermula daripada hari pengundian sampai tamat kiraan undi berjalan lancar.
  
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 7 Mei sebagai hari pengundian bagi PRK Parlimen Permatang Pauh dan 5 Mei bagi pengundian di Parlimen Rompin. - Bernama