PKR enggan mendedahkan calonnya yang bakal bertanding pada PRK Permatang Pauh walaupun keputusan mengenainya telah dicapai.
SHAH ALAM: PKR mengesahkan telah mempunyai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, 7 Mei depan.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan mengenainya telah dibuat tetapi masih merahsiakannya.
“Memang kita sudah ada perbincangan dalam mesyuarat dan kita akan umum kelak, harap semua bersabar,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor.
Jelas Wan Azizah, pihaknya akan membuat pengumuman rasmi apabila persiapan secara menyeluruh selesai dibuat.
Pada masa sama, beliau enggan menjawab dakwaan sesetangah pihak kononnya anak keduanya Nurul Nuha Anwar akan dicalonkan bagi mempertahankan kerusi yang disandang Ketua Umum PKR, yang juga suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sabar dulu, kita akan letak calon yang boleh menang, nanti saya akan umum,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai proses pilihan raya yang bakal diadakan, Wan Azizah memaklumkan PKR akan membuat pengumuman bilik operasinya 14 April nanti.
Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, mengumumkan 7 Mei depan sebagai hari pembuangan undi bagi PRK bagi Parlimen Permatang Pauh, manakala 25 April tarikh penamaan calon.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan