PETALING JAYA: Beberapa elemen di dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA) harus dimasukkan ke dalam Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan
(POTA) 2015 agar kuasa polis tidak terhad kepada beberapa peruntukan
sahaja.
Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan
Sri Musa Hassan berkata, ia termasuk memasukkan semula undang-undang
menghukum mana-mana pihak yang melakukan kegiatan sabotaj dan subversif.
"Kita menyokong POTA kerana ia merupakan undang-undang pencegahan
keganasan namun ada beberapa subjek di dalam ISA yang dapat mengawal
tindakan pihak tertentu yang merosakkan keamanan.
"Ada peruntukan di dalam POTA yang mengehadkan kuasa polis sekali gus
menjadikan agensi keselamatan itu seolah-olah tidak ada gigi.
"Semua negara ada ISA atau berunsur akta itu, ia menjamin keamanan
negara masing-masing. Jika ISA apabila wujud keterangan seseorang
terlibat dalam keganasan, individu yang membuat keputusan adalah menteri
namun POTA akan dikawal panel," katanya semasa sidang media di sini
hari ini.
Musa mengulas rang Undang-undang POTA yang diluluskan di Dewan Rakyat
pada awal pagi Rabu setelah perbahasan mengenainya mengambil masa
sehingga 12 jam apabila pihak pembangkang terus menekankan tanggapan ia
sama seperti ISA.
Ia termasuk peruntukan bahawa tiada seorang pun boleh ditangkap dan
ditahan semata-mata atas 'kepercayaan politik atau aktiviti politik'.
Undang-undang itu turut menjelaskan 'kepercayaan politik atau aktiviti
politik' ertinya penglibatan dalam aktiviti yang sah di sisi
undang-undang melalui pernyataan pendapat atau pengambilan tindakan yang
dibuat mengikut rukun sesuatu parti politik yang pada masa yang
berkaitan itu berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966.
Dalam pada itu kata Musa, kuasa POTA juga tidak menahan seseorang
suspek sebelum mendapat kelulusan panel untuk sesuatu keputusan.
"Ia berbeza dengan ISA yang menjaga mana-mana kegiatan subversif atau
usaha terancang untuk menjatuhkan kerajaan. ISA sebenarnya sudah lengkap
untuk menjaga keamanan negara," jelasnya.
Sementara itu, ketika ditanya penguatkuasaan Akta Hasutan terutama di media sosial, ini katanya,
"Bagi saya Akta Hasutan ini tadi ada pengecualiannya juga, bukan semua
perkara itu menjadi hasutan, kita kena tengok niat orang memberitahu
itu.
"Jika jujur hendak beritahu, itu bukan hasutan, saya rasa yang paling
penting kita lihat apa tujuan perkara itu diungkapkan dan kita perlu
memberi nasihat tertentu.
"Ia termasuk kepada mereka yang merasakan bahawa perkara itu tadi
terlampau sensitif yang membuatkan lain-lain pihak rasa tidak puas hati
kepada lain-lain pihak, kita boleh beri nasihat terlebih dahulu,"
jelasnya.
Ujarnya, di dalam Akta Hasutan ada pengecualian dan bukan semuanya merupakan hasutan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan