HALAMAN SANTAI

Jumaat, 10 April 2015

Selepas bah besar, kemarau pula

MALAYSIAKINI



Jajahan Machang dan Tanah Merah mulai menghadapi masalah tekanan air rendah sejak beberapa minggu lepas berikutan kemarau yang mula melanda negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Negeri Datuk Hanifa Ahmad.

Katanya musim kemarau yang melanda Kelantan sejak beberapa bulan lepas menyebabkan paras air sungai susut dan mengakibatkan tekanan air di beberapa kawasan menjadi rendah.

"Bagaimanapun, kita telah meminta Air Kelantan Sdn Bhd menyelesaikan masalah jika kemarau berpanjangan. Walaupun paras air sungai menunjukkan sedikit penyusutan, namun kita mempunyai pelbagai sumber untuk mendapatkan bekalan antaranya menerusi telaga tiub, jejari dan air bawah tanah," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Hanifa berkata kerajaan negeri juga akan menyediakan bekalan air melalui khidmat lori bergerak ke beberapa kawasan awam mengikut keperluan semasa.

Setakat ini sumber air yang ada dijangkakan mencukupi bagi membekalkan air kepada pengguna di negeri itu dan kemungkinan musim kemarau akan berpanjangan sehingga Mei ini, katanya.

Hanifa turut mengingatkan supaya rakyat sentiasa berjimat-cermat dalam menggunakan air bagi mengelakkan mereka berdepan dengan krisis kekurangan bekalan air sepanjang musim kemarau ini. - Bernama


Tiada ulasan: