THE RAKYAT POST
Khalid Samad berkata PAS
mengumumkan keputusan Majlis Syura Ulama dan meluluskan usul dalam
Muktamar PAS ke-61 baru-baru ini bahawa tiada lagi hubungan dengan DAP,
menunjukkan parti tersebut telah keluar dari gabungan dan dengan itu
yang tinggal tidak lagi dinamakan sebagai Pakatan Rakyat. - Foto
TRP/Syahirah Roslan
KUALA LUMPUR - “Setiap parti sudah bebas dari ikatan
Pakatan Rakyat apabila salah satu parti komponen mengisytiharkan Pakatan
Rakyat tidak lagi wujud.”
Demikian menurut Ahli Parlimen PAS-Shah Alam, Khalid Samad yang mengulas mengenai status Pakatan Rakyat dalam blog www.khalidsamad.com hari ini.
Katanya, PAS mengumumkan keputusan Majlis
Syura Ulama dan meluluskan usul dalam Muktamar PAS ke-61 baru-baru ini
bahawa tiada lagi hubungan dengan DAP, menunjukkan parti tersebut telah
keluar dari gabungan dan dengan itu yang tinggal tidak lagi dinamakan
sebagai Pakatan Rakyat.
“Maka
dalam suasana sekarang, setiap parti bebas bergerak mengikut
kehendaknya sendiri. Tiada lagi sebarang ikatan antara mereka kerana
Pakatan Rakyat sudah tiada,” katanya.
Bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu
juga memetik kenyataan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah yang
menyatakan parti itu menyokong kerajaan Kelantan yang dipimpini PAS dan
menyokong juga kerajaan Penang yang diketuai DAP.
Khalid berkata, kenyataan itu perlu
dibuat kerana pendirian DAP terhadap kerajaan Kelantan dan PAS terhadap
kerajaan Pulau Pinang adalah berbeza kerana DAP sudah tidak bersama PAS
dan dengan itu tidak menyokong kerajaan Kelantan di bawah PAS begitu
juga sebaliknya kecuali PAS ingin melakukan pusingan-U (U-turn)
“Saya rasa tidak mungkin PAS melakukan
U-turn dan kenyataan Tuan Guru Hadi Awang yang menyebut bahawa ‘dua
parti memadai untuk mewujudkan Pakatan’ adalah konsisten dengan
keyakinan saya ini,” katanya.
Khalid dengan jelas menyatakan istilah
‘pengsan’ atau komatose, tidak berfungsi secara formal atau sebagainya
adalah hanya istilah-istilah yang mengaburi hakikat sebenar mengenai
gabungan tiga parti PAS, PKR dan DAP yang membentuk Pakatan Rakyat.
“Barisan kepimpinan PAS dan parti
pembangkang perlu lebih awal mengakui keadaan sebenar, maka adalah lebih
mudah untuk memulakan usaha baik pulih dan pembetulan sekiranya perlu.
Tiada manfaat menipu diri dengan mengatakan kesemuanya baik sedangkan
pada hakikatnya adalah sebaliknya,” katanya.
Muktamar Tahunan PAS ke-61 telah
meluluskan usul yang dibawa Dewan Ulama PAS pusat tanpa dibahas bagi
memutuskan hubungan dengan DAP susulan beberapa kenyataan pimpinan parti
itu terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terutama dalam
isu hudud.
Bagaimanapun usul berkenaan mahu PAS mengekalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dalam pakatan pembangkang bersama PKR.
Sejurus pengumuman itu, Penasihat DAP,
Lim Kit Siang mengeluarkan kenyataannya bahawa Pakatan Rakyat tidak lagi
wujud selepas parti sekutunya, PAS memutuskan tahaluf siyasi atau
hubungan politik dengan DAP pada Muktamar tahunannya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan