KUALA LUMPUR - Penganjur program Dialog bersama PM, Sukaguam kesal dengan insiden provokasi dan rempuhan yang berlaku pada program itu, pagi tadi.

Pengerusinya, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, atas nasihat polis, pihaknya mengambil keputusan untuk membatalkan program tersebut.

"Polis menghubungi saya dan memaklumkan bahawa terdapat beberapa tangkapan dibuat di luar dewan dan ada berlakunya provokasi oleh pihak-pihak tertentu," katanya.

Menurutnya, program tersebut dibuat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju untuk berdialog dengan pimpinan dan aktivis.

"Ini adalah masanya untuk beliau berjumpa dan berdialog bersama aktivis yang aktif di peringkat akar umbi," katanya.

Beliau berkata, ketika ingin mengumumkan mengenai pembatalan program itu, pintu dewan telah dirempuh oleh pihak tertentu.

"Saya kesal kerana dialog ini seharusnya berlangsung dalam keadaan hikmah dan bijaksana bertukar menjadi kecoh.

"Majlis ini adalah untuk rakyat dan pemimpin bertukar pandangan dan idea," katanya.

Khairul berkata, selepas rempuhan tersebut, polis mendekatinya dan membawa beliau keluar dari dewan.

"Saya dimaklumkan polis terpaksa berbuat demikian atas faktor keselamatan," katanya.

Menurutnya, dia akan menghubungi Najib bagi memaklumkan perkara tersebut.

"Saya juga berikrar akan mengadakan semula majlis ini pada masa akan datang dengan memperketatkan isu keselamatan," katanya.