HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 Jun 2015

Hapus PTPTN, bukan potong gaji penjawat awam

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR– Keputusan kerajaan untuk memotong gaji 163,007 penjawat awam bagi pembayaran balik pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah tidak munasabah dan membawa kesan negatif jangka panjang.

Pengarah Strategi Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Akmal Nasir berkata, keputusan itu dilihat selari dengan saranan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludiddin untuk mengenakan tindakan tatatertib kepada mereka yang gagal membayar pinjaman berkenaan.

ptptn

“Khairy sebagai Ketua Pemuda UMNO lebih cenderung menghukum penjawat awam mahupun orang muda.

“Beliau sepatutnya meneliti mengapa rakyat dipaksa membuat hutang bagi melanjutkan pelajaran dan mengapa terdapat elemen membuat keuntungan dalam pendidikan tinggi,” katanya pada kenyataan media.

Ujarnya, mengikut pengiraan yang dibuat pada tahun 2013, kos yang terpaksa ditanggung kerajaan bagi menghapuskan PTPTN hanyalah RM24 bilion.

Jumlah ini separuh daripada hutang 1MDB yang dianggarkan lebih RM42 bilion dan sehingga kini gagal dijawab Barisan Nasional.

Akmal berkata, kerajaan menghukum peminjam PTPTN sedangkan begitu banyak ketirisan wang rakyat.

Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kenaikan harga minyak dan ura-ura kenaikan kadar tol akan memburuk lagi tekanan kos sara hidup dihadapi mereka.

“Adakah gaji yang diterima penjawat awam memadai untuk menanggung semua ini dan kini berdepan dengan potongan gaji?

“Jika Khairy dengan lantang menggelarkan peminjam yang tidak membayar PTPTN sebagai mengkhianati perjanjian, beranikah beliau menuntut agar gaji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dipotong sehingga hutang 1MDB dijelaskan terlebih dahulu?,” soalnya.

Tiada ulasan: