MALAYSIAKINI
Jika seseorang tidak sependapat dengan ketuanya, mereka bebas untuk
berpisah, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan.
Ia memang kelihatan sebuah penyelesaian mudah namun kenyataan Mohamad
itu dianggap penting ketika ada laporan mendakwa Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak memberi kata dua kepada anggota kabinet supaya meletak
jawatan jika tidak bersetuju dengan pendekatan diambilnya dalam isu
1MDB.
Kenyataan Mohamad itu dimuat naik di laman sesawang MyKMU.net dan YouTube hari ini.
Dalam klip video selama 44 saat itu, Mohamad berkata, manusia tidak boleh membuat pilihan dalam dunia ini.
Satu, katanya, ialah ibu bapa.
"Ibu bapa memang tak boleh pilihlah, kan?" katanya.
Kedua, kata Mohamad, ialah "bos".
"Kalau you tak suka bos, bos tak perlu pergi. You yang (kena) pergi," katanya.
Mohamad juga menyebut satu nama, Nizam, dalam rakaman itu dengan berkata: "So, siapa yang bekerja - macam you, Nizam, kalau tak suka saya, you berhenti."
Kenyataan itu disambut gelak ketawa orang ramai.
Tidak dapat dipastikan siapakah "Nizam" yang disebut Mohamad tetapi ada kemungkinan salah seorang pembantunya.
Hari ini Utusan Malaysia melaporkan Najib memberi kata dua
semasa mesyuarat kabinet Jumaat lalu selepas Menteri Kewangan Kedua,
Datuk Seri Husni Hanadzlah membentangkan pelan penstrukturan semula
1MDB.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dianggap antara tokoh
yang tidak senang dengan cara Najib menguruskan isu 1MDB.
Bagaimanapun, Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz menafikan Najib membuat kenyataan begitu.
Sumber pula memberitahu, Muhyiddin tidak menghadiri mesyuarat kabinet berkenaan kerana sedang bercuti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan