Oleh Shuhaniza Said & Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz
SHAH ALAM: Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiyat akui usaha dan tindakan
yang diambilnya dalam merapatkan PAS dan Pakatan Rakyat tidak popular
sehingga beliau diperlekehkan oleh kalangan ahli dalam sayap parti itu
sendiri.
"Malahan saya setiap hari diperlekeh termasuk oleh adik-adik dalam
Pemuda," petik katanya daripada teks ucaptama Muktamar Tahunan Pemuda
PAS Malaysia Kali ke-56, hari ini.
Suhaizan berkata beliau rela dirinya menjadi 'punching bag' asalkan
Pakatan Rakyat tidak berpecah dan perpaduan dalam kalangan pimpinan
serta ahli parti terus utuh, menurut teks ucapannya.
"Tetapi demi memastikan perpaduan PAS tidak berkecai dan Pakatan
Rakyat tidak berpecah, saya rela untuk terus jadi 'punching bag' asalkan
agenda besar kita untuk membuka pintu Putrajaya dan mengisinya dengan
agenda Islam tidak akan digagalkan di tengah-tengah jalan," Suhaizan
dipetik sebagai berkata.
Suhaizan turut menegaskan perbezaan pendapat itu wajar ditangani
dengan bijak seperti mana dalam satu peristiwa membabitkan perselisihan
pendapat antara dua tokoh Islam, iaitu Saidina Ali dan Muawiyah, menurut
teks ucapan itu.
"Bermula daripada perbezaan pendapat bagi menghukum pembunuh Saidina
Uthman. Muawiyah mahu pembunuh dihukum qisas dengan segera sedangkan
Saidina Ali mahu menangguhkannya.
"Perbezaan tidak diurus dengan baik dan campur tangan daripada
kumpulan Al Sabaiyyun yang dipimpin Abdullah bin Saba' telah mewujudkan
krisis dan pertempuran darah ribuan umat Islam dalam peristiwa
peperangan Jamal dan Siffin.
"Mujurlah Saidina Hassan, cucu Rasulullah yang merupakan generasi anak
kepada Muawiyah dan Saidina Ali telah menjadi pendamai kepada kemelut
ini.
"Pendekatan Saidina Hassan inilah yang diambil oleh Pemuda melalui
pendekatan politik budiman untuk mendamaikan apa yang berlaku dalam
PAS," katanya merujuk teks ucapan itu lagi.
Suhaizan mengakui perselisihan pendapat dalam kalangan pimpinan parti
adalah disebabkan kegagalan mengurus sehingga dilihat berkonflik dan
berkrisis.
Krisis dalaman PAS pada ketika ini dilihat semakin meruncing apabila
pimpinan parti itu mengeluarkan kenyataan yang berunsur kritikan
terhadap pimpinan lain dalam parti itu sendiri.
Ini ditambah pula dengan kenyataan berbaur serangan yang dilontarkan
pemimpin DAP terhadap Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelang
pemilihan parti, ekoran ketegasan Ahli Parlimen Marang itu yang mahu
melaksanakan hudud di Kelantan.
Serangan demi serangan terhadap PAS dan Presiden menyaksikan beberapa
kenyataan daripada pemimpin parti itu sendiri meminta agar parti
mengkaji kembali tahaluf siyasi bersama Pakatan.
"Adakah semata-mata kerana ada parti yang menolak pelaksanaan hudud maka kita perlu keluar?
"Bukankah pendirian parti tersebut yang jelas menolak hudud telah kita
sedia maklum sejak puluhan tahun yang lalu malahan sewaktu kita
memutuskan untuk membuat tahaluf siyasi pun kita sudah tahu pendirian
mereka?" katanya yang dipetik teks tersebut, sekaligus membayangkan PAS
tidak akan tunduk serta mengambil keputusan untuk keluar gagasan
pembangkang berkenaan.
Muktamar Pemuda PAS yang dirasmikan Timbalan Presiden, Mohamad Sabu
berlangsung selama dua hari, dengan proses pemilihan bagi sayap itu akan
bermula esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan