HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 Jun 2015

PAS perlu beri solusi dari kaca mata Islam

THE RAKYAT POST


tuan ibrahim tuan man
Tuan Ibrahim meminta semua menampilkan konsep Rahmat Untuk Semua melalui istiqamah dengan Islam, konsep amal lillah iaitu beramal kerana Allah, serta keikhlasan dalam perjuangan. - Foto fail TRP/Azrol Ali



KUALA LUMPUR - PAS perlu mencabar dirinya untuk menguasai dan mendahului dalam isu-isu yang melibatkan rasuah, ekonomi, kesusahan dan penindasan terhadap rakyat dan salah guna wang rakyat dan memberi solusi dari kaca mata Islam.


Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata segala tuduhan-tuduhan perlu dipatahkan dan persepsi pada PAS perlu diperbetulkan melalui gerak kerja, akhlak dan perkhidmatan kepada rakyat.

Menurut beliau, semua pihak perlu membiarkan kerja yang telah dilakukan itu untuk menjadi jurucakap kepada PAS.

“Tampilkan konsep Rahmat Untuk Semua melalui istiqamah kita dengan Islam, konsep amal lillah iaitu beramal kerana Allah, serta keikhlasan dalam perjuangan.

“Janganlah dihabiskan masa dalam perkara yang tidak berfaedah dan menambahkan polemik di kalangan ahli,” katanya menerusi lama Facebooknya di sini hari ini.

Tambah Tuan Ibrahim, sejak selesainya muktamar, ahli PAS terus berhadapan dengan pelbagai kemelut negara, masalah dengan rakan Pakatan Rakyat dan juga masalah dalaman parti.

Jelas beliau, ia adalah asam garam perjuangan yang membawa semua pihak kepada suasana sentiasa sibuk bagi memikirkan dan mencari jalan untuk mengukuhkan jamaah dan meneruskan perjuangan Islam.

Tegas beliau, apa yang mudah untuk dilakukan ialah berputus asa dan yang susah ialah meneruskan perjuangan walau apa yang berlaku.

“Kepada yang menerima taklif jawatan dalam parti, marilah kita tingkatkan gerak kerja jamaah, memperkukuhkan komitmen dan istiqamah kita.

“Kentalkan hati untuk menghadapi cemuhan dan cabaran bagi menyeru ummah kepada keindahan Islam dan dalam masa yang sama mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan PAS.

Biarlah kita tegas dalam perkara prinsip dan anjal dalam pelaksanaan serta eratkan ukhuwah di kalangan anggota parti,” ujarnya.

Tiada ulasan: