HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Jun 2015

Pekerja MAS cuti bersalin juga diberhentikan, dakwa Nufam

OLEH MD IZWAN


Presiden Nufam Ismail Nasaruddin mendedahkan kes di mana ibu tunggal diberhentikan, begitu juga pasangan suami isteri yang kedua-duanya pekerja MAS. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 2 Jun, 2015.Presiden Nufam Ismail Nasaruddin mendedahkan kes di mana ibu tunggal diberhentikan, begitu juga pasangan suami isteri yang kedua-duanya pekerja MAS. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli. 



Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) mendakwa Malaysia Airlines (MAS) mendiskriminasi kakitangannya menerusi langkah pemberhentian kerja di bawah pelan penstrukturan semula syarikat penerbangan negara itu, hingga terdapat kru yang sedang cuti bersalin turut ditamatkan perkhidmatannya.

Langkah tersebut dianggap tidak berperikemanusiaan dan mengabaikan kebajikan pekerja yang bertahun-tahun berkhidmat dengan MAS, kata presiden Nufam, Ismail Nasaruddin, mengulas nasib wanita yang menerima surat pemberhentian kerja daripada syarikat itu semalam.

"MAS malah menamatkan perkhidmatan kru wanita yang sedang cuti bersalin dan meminta mereka menghabiskan cuti mereka, walaupun mengetahui mereka sedang cuti bersalin," katanya pada satu sidang media di Subang hari ini.


Beliau juga mendedahkan, terdapat juga kes di mana ibu tunggal diberhentikan, begitu juga pasangan suami isteri yang kedua-duanya pekerja MAS. Ismail mempersoalkan keadilan yang dijanjikan MAS sebelum ini kepada pekerja yang diberhentikan.

"Ini suatu ketidakadilan. Mereka langsung tidak mempertimbangkan tentang masa depan dan memberi peluang kepada krew untuk terus bekerja," katanya.

Sementara itu, eksekutif sekretariat Nufam, Shona Marcus, yang mewakili kru wanita MAS, menyifatkan perkembangan itu sebagai sangat membimbangkan.

"Mengapa mereka tidak membuat pertimbangan yang wajar?" soalnya.

Sementara itu, peguam mewakili kesatuan anak kapal tersebut, Shailender Bhar menyifatkan MAS membelakangi hak pekerja dan ia bertentangan dengan Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedaw) yang diiktiraf kerajaan Malaysia pada 1995.

"Ia melanggar konvensyen Cedaw di mana kita mengiktiraf hak wanita dalam mana-mana sektor pekerjaan.
"Langkah ini sekaligus menafikan hak pekerja wanita itu sendiri," katanya.

Beliau juga tidak menolak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap MAS jika perkara ini tidak dipertimbangkan.

Ismail menegaskan, langkah pemberhentian tersebut akan memudaratkan kru wanita yang sedang bercuti bersalin, terutamanya daripada segi sudut psikologi.

"Langkah ini akan memudaratkan kru wanita yang baru sahaja melahirkan anak, malah tempoh berpantang belum habis, tapi sudah perlu menghadapi cabaran seperti ini," katanya.

Selain penafian hak terhadap anak kapal wanita, Nufam juga mendakwa tiada bayaran dibuat bagi cuti yang tidak digunakan pekerja pada 2014.

Perkara itu katanya tidak disentuh dalam surat pemberhentian kerja yang dihantar MAS kepada kakitangannya semalam.

Turut dipertikaikan Nufam ialah tawaran yang berbeza-beza diberikan kepada pekerja MAS menerusi surat masing-masing.

MAS semalam mengumumkan sudah menghantar surat kepada semua stafnya yang diberikan tempoh 12 hari untuk memberi jawapan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAS yang baru, Christoph Mueller memberitahu, sebanyak 14,000 surat tawaran dihantar kepada stafnya, manakala surat pemberhentian kerja juga dihantar kepada 6,000 staf lain.

Pengumuman tersebut ialah sebahagian daripada langkah penstrukturan semula MAS yang diambil bagi memulihkan syarikat penerbangan yang mengalami kerugian tersebut.

Tiada ulasan: