THE RAKYAT POST
Ahmad Fadhli Shaari
berkata kerajaan tidak sewajarnya hanya pandai berhutang dan menambah
hutang semata-mata, tetapi juga perlu merancang untuk kesejahteraan
rakyat.
KUALA LUMPUR- Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak kerajaan agar bertanggungjawab dalam merancang pelan strategik secara menyeluruh bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat di negara ini.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari
berkata kerajaan tidak sewajarnya hanya pandai berhutang dan menambah
hutang semata-mata, tetapi juga perlu merancang untuk kesejahteraan
rakyat.
Mengulas mengenai isu bankrap yang
melanda golongan muda, Ahmad Fadhli berkata seramai 15,925 individu di
bawah usia 35 tahun yang diisytiharkan bankrap sepanjang tempoh 2012
hingga Mac lalu adalah satu angka yang besar.
Katanya, masalah berkenaan adalah
berpunca daripada kos taraf hidup yang tinggi malah pinjaman kediaman
turut merupakan penyumbang terbesar pengisytiharan bankrap.
“Ia membuktikan bahawa masyarakat semakin
tidak mampu untuk memiliki barangan keperluan. Berbeza dalam beberapa
tahun lepas, pinjaman kenderaan mencatat peratus terbesar berbanding
kediaman,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Susulan perkara itu, beliau mempersoal keseriusan langkah kerajaan dalam membendung kenaikan harga rumah yang melambung naik.
Jelasnya, generasi muda tidak mempunyai
pilihan untuk memiliki kediaman selain daripada mendapatkan pinjaman
yang terpaksa dibayar secara ansuran.
“Kerajaan sewajarnya mempunyai mekanisma
mengawal pasaran harga hartanah di Malaysia kerana ia sememangnya berada
di bawah bidang kuasa kerajaan yang memerintah.
“Namun, seandainya pemimpin terus menagih
komisen dan mempunyai kepentingan besar dalam industri hartanah, impian
besar rakyat Malaysia hanyalah tinggal angan-angan semata,” katanya.
Perkara itu juga katanya, sama seperti yang berlaku terhadap harga kenderaan yang berada di paras tinggi kini.
Katanya, kegagalan kerajaan menyediakan
kemudahan pengangkutan awam berkesan hakikatnya memaksa rakyat Malaysia
untuk membuat pinjaman bank bagi mendapatkan kenderaan yang selesa,
sekurang-kurangnya bagi tujuan kegunaan ke tempat kerja.
“Kedegilan kerajaan untuk terus
mengenakan cukai eksais begitu tinggi terhadap setiap pembelian kereta
di antara 85 hingga 110 peratus, serta pelaksanaan dasar permit
mengimport (AP) yang tidak telus dengan tujuan mengkayakan kroni, hanya
menjadikan rakyat sebagai mangsa.
“Rakyat terpaksa membeli kenderaan dengan
harga yang tinggi dan menjejaskan pendapatan boleh guna mereka. Ia
ditambah lagi dengan pemberian rebat cukai eksais yang tidak telus
sehingga menyembunyikan struktur kos yang ditanggung oleh industri
automotif,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan