HALAMAN SANTAI

Khamis, 4 Jun 2015

Pesara: PP mungkin hab pemerdagangan manusia

MALAYSIAKINI


"Penang, Penang, Penang" kedengaran biasa, kan?

Ia bukanlah teriakan konduktor bas memanggil para penumpang seperti yang lazim didengar, tetapi sebenarnya cara pegawai penguat kuasa meniru tekong darat memanggil pelarian Rohingya yang bersembunyi di beberapa jalan tikus.

Seorang pesara Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) yang hanya ingin dikenali sebagai Pak Lan, berkata panggilan itu sangat popular pada tahun-tahun 1996 hingga 2003, tatkala itu pasti ada tangkapan dibuat semasa unit itu mengadakan operasi.

"Sekurang-kurangnya dua atau tiga pelarian Rohingya dan pendatang Bangladesh ditangkap semasa operasi dan kadang-kadang mencapai 20 hingga 30 orang, menerusi panggilan itu yang disangka mereka daripada tekong darat itu," katanya kepada Bernama di Kangar.

Ditanya mengapa perkataan 'Penang' menjadi pilihan, Pak Lan yang pernah mengetuai beberapa pasukan operasi, berkata siasatan mendapati perkataan itu sahajalah yang diketahui pelarian dan pendatang.

"Kami mendapat tahu tentang bahasa isyarat itu secara kebetulan pada 1996 semasa meronda di sempadan di Kurung Tengar, Kuala Perlis yang mempunyai banyak laluan tikus popular untuk mereka menyeludup masuk.

"Pada malam itu tekong darat memanggil mereka (pelarian dan pendatang) keluar tetapi terhenti dan melarikan diri sebaik sahaja ternampak kami. Kami terus menggunakan kaedah itu untuk memanggil keluar pendatang haram," katanya.

Kurung Tengar terletak kurang dua kilometer dari pekan Kuala Perlis dan kini diletakkan di bawah pengawasan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan dibangunkan sebagai bandar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Pak Lan berkata berdasarkan pemerhatian, beliau dan pasukannya percaya sindiket terbabit menggunakan Perlis sebagai tempat persinggahan kegiatan pemerdagangan manusia ke Pulau Pinang, sekali gus membawa kepada penggunaan 'Penang' sebagai isyarat.

"Sebenarnya, kami pernah dengar beberapa pelarian Rohingya yang ditahan semasa operasi menyebut terdapat pelarian Rohingya dan pendatang Bangladesh yang mendarat secara terus di Pulau Pinang dengan menaiki bot.

"Keadaan ini tidak menghairankan kerana Pulau Pinang mempunyai campuran budaya India Muslim dan pembangunan industri yang pesat serta aktif menggaji pekerja asing pada masa itu. Ia menjadi pilihan yang tepat untuk dijadikan pusat kegiatan pemerdagangan manusia kerana mereka dengan mudah dapat bercampur dengan penduduk tempatan," katanya.

Ditanya tentang kawasan yang biasa menjadi tempat operasi UPP di Perlis, Pak Lan berkata agensi itu memberi tumpuan kepada Kampung Syed Omar dan Bukit Bintang yang bersempadan dengan Kampung Puju, Thailand selepas aktiviti di Kurung Tegar berkurangan.

"Kami akan letak beberapa kereta dan mula memanggil dengan menggunakan isyarat itu, meniru cara tekong darat. Biasanya ia dilakukan selepas tengah malam," katanya.

Pak Lan berkata pelarian dan pendatang biasanya ditinggalkan di kaki bukit oleh tekong darat dari Thailand dan dipaksa berjalan kaki memanjat bukit sebelum dijemput oleh ejen dari Malaysia yang membawa mereka ke Pulau Pinang melalui jalan kampung bagi mengelak sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa.

Perbualan dengan seorang lagi pegawai agensi penguat kuasa yang bertugas turut mengesahkan maklumat itu.

"Para penyeludup biasanya bergerak menggunakan bot dari Kawthoung, Myanmar melalui Laut Andaman melepasi Pulau Panjang berhampiran Langkawi dan Kampung Puju, Thailand dan menurunkan pelarian serta pendatang terbabit di Kaki Bukit dan beberapa laluan tikus di Kangar.

"Mereka kemudiannya dibawa ke Pulau Pinang oleh tekong darat tempatan," jelasnya.

Difahamkan kawasan Perai, dua kawasan di Machang Bubok di Seberang Perai Tengah dan Mak Mandin di Seberang Perai Utara menjadi lokasi penempatan mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

Satu sumber memberitahu Bernama bahawa polis di Pulau Pinang bekerjasama dengan Bukit Aman bagi menjalankan operasi bersama yang membawa kepada kejayaan memperoleh maklumat mengenai kegiatan pemerdagangan manusia di Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, sehingga Isnin lepas, 35 mayat dipercayai mangsa pemerdagangan manusia telah dikeluarkan dari kubur di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis.

Mayat dan rangka itu dikeluarkan dari 139 kubur yang ditemui pihak berkuasa di 28 kem transit yang dibina oleh sindiket pemerdagangan manusia sepanjang sempadan Perlis-Thailand.

Bedah siasat ke atas mayat terbabit akan dilakukan pada 7 Jun di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Sementara itu operasi fasa kedua mengeluarkan mayat di kem transit di Hutan Simpan Mata Air, Lubuk Sireh bermula hari ini, kata Ketua Polis Perlis SAC Shafie Ismail pada hari Isnin.

Shafie berkata sebanyak 91 kubur dikenal pasti di kawasan terbabit dan polis Malaysia telah mendapat kebenaran pihak berkuasa Thailand menggunakan laluan di negara itu untuk memasuki lokasi. - Bernama


 

Tiada ulasan: