"Saya tidak akan patah semangat, darah dalam diri saya ini bukan darah sembarangan, saya mungkin dilihat adakalanya bersemangat diplomatik, tapi semangat kepahlawanan tetap ada dalam diri saya," kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
"Jangan pandang rendah saya, saya akan terus berjuang, dan saya yakin BN Sarawak akan bersama saya," katanya, lapor Bernama.
Sarawak menjadi negeri terkini (selepas Sabah dan Perlis) bagi Najib yang akan membolehkan beliau tidur dengan nyenyak, selepas melihat sokongan padu Sarawak kepada Barisan Nasional (BN) yang diterajui beliau.
Berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat #sarawakfornajib di Stadium Perpaduan di Kuching hari ini, katanya beliau yakin di bawah kepimpinan Tan Sri Adenan Satem, BN akan terus mendapat mandat besar di Sarawak, menjadi pembuka tirai kepada kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau yang memuji kehebatan Adenan menerajui Sarawak berkata: "Dia (Adenan) hanya minta satu penggal saja (Pilihan Raya Negeri akan datang), lima tahun lagi pentadbiran, bukannya 22 tahun".
Najib berkata Perdana Menteri sebelum ini turut mengharungi pelbagai masalah besar dalam pentadbiran, dan disebabkan sokongan setia sebagaimana yang dicurahkan beliau kepada pemimpin-pemimpin sebelum ini, membolehkan perdana menteri sebelumnya kekal berkuasa, ada sehingga 22 tahun.
"Ini zaman saya sebagai PM (Perdana Menteri), takkan saya kena turun kerana kehendak seorang. Saya dipilih siapa? Rakyat bukan rakyat Malaya (semenanjung Malaysia) saja. Rakyat Sarawak juga memilih saya sebagai 'Apai Besai'. Saya nak tanya orang Sarawak... nak lagi saya jadi PM ke tidak?" kata beliau dengan disambut dengan sorakan gemuruh "nak".
"Saya akan terus pimpin negara kita, saya akan terus berjuang kerana banyak agenda kita belum selesai, paling utama kita nak wujudkan sebuah negara Malaysia yang maju.
Katanya BN mahukan kemenangan besar dalam pilihanraya akan datang, kemenangan yang cukup meyakinkan, dan apabila menang nanti pula, mereka perlu bersikap merendah diri.
"Eksyen sikit tak apa, tapi jangan berlebihan dan perlu merendah diri, jangan malukan orang, merendah diri dan rakyat akan menghargai kamu, kita teruskan perjuangan ke hadapan. Insya-Allah BN akan berjaya pilihan raya akan datang kalau kita bersatu," katanya. - Bernama
Sementara itu, Laporan Star Online menyebut Najib berkata beliau tidak akan berundur dan akan terus kekal sebagai perdana menteri.
Dalam ucapan itu, Najib turut menegaskan bahawa beliau akan menyelesaikan krisis 1Malaysia Development Bhd secepat mungkin.
Beliau juga mengulangi kepada hadirin betapa beliau sebelum ini sangat setia kepada perdana menteri sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau tidak akan berundur hanya disebabkan oleh kritikan Mahathir, tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan