KUALA LUMPUR - “Ramai yang berlari bertempiaran, ada juga anak-anak kecil yang menangis ketakutan.”

Itulah perasaan yang dapat digambarkan oleh orang ramai ketika kejadian ribut yang melanda di Batu Buruk, Kuala Terengganu pada Sabtu.

Ellinna Johana Zulkifli, 31, antara saksi yang berada di tempat kejadian berkata, banyak kanopi bazar terangkat dan berterbangan kerana angin yang terlalu kuat berserta hujan yang lebat.

“Ramai orang berlari untuk berteduh akibat hujan dan ribut berserta petir, malah ada yang menjerit ketakutan.

“Ribut yang tiba-tiba datang itu membuatkan orang ramai panik kerana cuaca juga mulai gelap sehingga waktu itu nampak seolah-olah seperti sudah malam,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Bagi Arifi Sya’ari Omar, 24, yang juga berada di lokasi yang berlaku kira-kira 6 petang itu berkata, ketika kejadian itu beliau hanya mampu berdoa agar ianya cepat berlalu dan berharap tiada sesiapa yang tercedera.

“Pada hari itu, angin terlalu kuat, tidak seperti biasa. Saya ingat bencana akan berlaku, dengan itu saya hanya mampu berdoa kerana terlalu takut.

“Malah pada hari sebelumnya, kerana ribut yang terlalu kuat ada kanvas yang tercabut dan terkena kepala salah seorang pengunjung di situ sehingga berdarah,” kata beliau yang juga berada di situ untuk berniaga jualan ‘carboot sale’.

Kejadian ribut itu juga telah mengakibatkan sebuah kereta Perodua Myvi remuk teruk, manakala kereta Honda City yang dipandu pegawai perubatan mengalami kerosakan di bahagian hadapan akibat dihempap pokok rhu.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan seorang pegawai perubatan dan jururawat nyaris maut, selepas kereta masing-masing dihempap pokok dalam kejadian ribut kencang berserta hujan lebat berhampiran medan selera Batu Buruk, petang Sabtu.

Kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu mengakibatkan kereta Perodua Myvi yang dipandu Siti Zulaikha Abd Aziz remuk teruk, manakala kereta Honda City yang dipandu pegawai perubatan Klinik Kesihatan Marang, Elyas Ahmad mengalami kerosakan di bahagian hadapan, dihempap pokok rhu.

Siti Zulaikha, 23, yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan bertemu rakannya untuk berbuka puasa di medan selera Pantai Batu Buruk.

“Saya bernasib baik mendapat pertolongan orang ramai dan sempat keluar dari kereta,” katanya yang mengalami kecederaan ringan.

Elyas, 28, pula berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu Buruk, selepas membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan berhampiran.

“Sebaik tiba di hadapan medan selera, ribut melanda dan sebahagian dahan pokok rhu menimpa cermin hadapan kereta saya.

“Saya dapat lihat batang pokok itu menghempap bahagian tengah kereta Myvi (dipandu Siti Zulaikha) di hadapan saya.

“Saya terkejut. Saya terus meluru keluar dan dengan bantuan orang ramai berhampiran, kami berjaya mengopak pintu kereta Myvi untuk menyelamatkan wanita itu,” katanya.

Ribut yang melanda kira-kira 45 minit sebelum waktu berbuka puasa semalam, menyebabkan beberapa batang pokok di sekitar bandaraya itu tumbang.