MALAYSIAKINI
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berasa terhina dengan penjelasan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dana besar
dimasukkan ke Datuk Seri Najib Razak.
Presidennya Amidi Abd Manan berkata, penjelasan bahawa dana RM2.6 bilion
itu daripada penderma dan bukan 1MDB “memperbodoh rakyat secara
terang-terangan”.
“Kenyataan seperti ini adalah satu kenyataan yang mengkhianati rakyat Malaysia,” katanya ketua NGO Islam terkenal itu.
“Khianat terhadap kepercayaan rakyat yang mengamanahkan tugas untuk terus menjaga integriti dan kredibiliti institusi kerajaan.”
Amidi (gambar) berhujah, semua rakyat tahu bahawa jumlah derma yang begitu besar hampir mustahil untuk berlaku dalam dunia hari ini.
Tambahan lagi, katanya, ia berlaku secara tersembunyi dan boleh mengundang fitnah besar.
“Pelbagai soalan yang membeliti tubuh badan Datuk Seri Najib Tun Razak
menjadi semakin busuk dengan kenyataan seperti ini,” katanya.
“Persoalannya, siapakah penderma? Ke mana dibelanjakan?Apakah tujuan
sumbangan? Adakah ia melibatkan sebarang perjanjian? Terus menghitamkan
imej beliau selaku perdana menteri Malaysia,” katanya.
ABIM turut mengulangi gesaan popular pengkritiknya supaya Najib bercuti
daripada tugasnya sebagai perdana menteri memandangkan pelbagai dakwaan
terhadapnya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menjelaskan dana
RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun Najib adalah
sumbangan penderma.
Ia, kata suruhanjaya itu lagi, bukan berpunca daripada dana syarikat pelaburan negara 1MDB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan