HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Ogos 2015

Umno: Sokong presiden atau timbalan?



Oleh Anuar Mohd Nor


Umno semakin bergolak – walau keadaan nampak cuba ditenangkan, media sosial dan media alternatif banyak menunjukkan keadaan yang tidak selesa dalam Umno.

Hakikat setiap hari pendedahan dibuat, ulasan diutarakan hanya menunjukkan kepincangan kepimpinan Umno dahulu dan sekarang

Usaha membela Datuk Seri Najib Razak, usaha mempertahankan Tan Sri Muhyiddin Yassin, usaha mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dr Mahathir mengkritik serta menyarankan Najib meletak jawatan akhirnya berkesudahan dengan membuka kepincangan yang berlaku dalam Umno.

Benar, usaha untuk memperbaiki persepsi dalam Umno perlu. Benar, ahli Umno perlu dimaklumkan mengenai kedudukan Umno yang meleset dari sudut persepsi dan langkah penyatuan dalam Umno yang perlu dilakukan. Semua ini adalah keperluan dan ini dinyatakan timbalan perdana menteri baru yang dilantik,  Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menggantikan Muhyiddin.

Persoalannya, adakah usaha menyatukan semula ahli Umno di bawah Najib akan dapat dilaksanakan dengan keadaan yang semakin merosot dalam membicarakan penyatuan Umno hari ini. Umno berdepan dengan perpecahan akibat rombakan kabinet baru-baru ini.


Isu rombakan kabinet berkisar dengan isu 1MDB yang begitu banyak menimbulkan persoalan baik di kalangan ahli Umno mahupun rakyat di luar. Mereka yang dipecat tidak menolak keperluan penyatuan dalam Umno – mahu memperjuangkan kelangsungan Umno tapi dalam keadaan yang sama mahu terus membicarakan kepincangan yang dikatakan berlaku dalam isu 1MDB – yang secara langsung melibatkan perdana menteri Malaysia.

Ini tidak akan membantu penyatuan – malah akan terus membentuk kem sokongan dalam Umno sendiri. Adakah kem-kem berlainan ini akan membantu dalam usaha merapatkan Umno kembali atau kem-kem ini akan berkembang dalam usaha mendapatkan pengaruh atas nama mencari kebenaran dalam Umno.

Umno terus diburu perpecahan. Umno terus berhadapan dengan situasi yang tidak menggalakkan penyatuan dan Umno semakin surut dalam pandangan rakyat. Usaha penyatuan di samping mencari kebenaran – memperjuangkan apa yang dikatakan keadilan dan membela nasib rakyat – hari ini wujud dalam dua khemah berbeza dalam Umno – ini menunjukkan ia amat jauh dari penyatuan sebenarnya.

Apa yang berlaku hari ini adalah timbul 2 kepimpinan yang mempunyai kekuatan dominasi masing-masing. Najib dengan kekuatan beliau sebagai perdana menteri dan Muhyiddin dengan kekuatan beliau dalam mengkritik hebat Najib dan mempersoalkan apa yang disebut skandal 1MDB.

Di mana titik penyatuan itu dapat dicapai selagi perkara-perkara ini tidak diselesaikan. Adakah ketua-ketua bahagian dan mereka yang dilantik baru-baru ini akan dapat mencari titik penyatuan dalam Umno tanpa satu kem beralah dan berkompromi dalam apa yang mahu dibicarakan dan diperjuangkan. Adakah isu 1MDB ini akan lenyap untuk memberi ruangan kepada penyatuan dalam Umno – apa pula nanti kata rakyat  terhadap Umno dan Barisan Nasional.

Hari ini perpecahan itu wujud dan benar. Kepimpinan bawahan dan pertengahan dalam Umno masih belum bersatu. Mereka masih bercanggah dalam memberi sokongan – Najib dan Muhyiddin. Mereka sebelum ini masih lagi boleh berkompromi – sekiranya pertarungan itu adalah antara Najib dan Dr Mahathir kerana Dr Mahathir bukan kepimpinan dalam Umno lagi – sungguh pun pengaruhnya besar.

Hari ini Umno berdepan dengan pertembungan presiden Umno dan timbalan presiden Umno dan kepimpinan bawahan serta pertengahan sedang meneliti kepada siapa sokongan yang patut mereka beri. Mereka tidak mahu salah langkah – sehingga kedudukan mereka terus goyah atau tercampak.

Masing-masing meneliti – siapa yang lebih kuat antara presiden dan timbalan presiden. Mereka tidak kisah mengenai isu 1MDB – sungguhpun ada yang mempersoalkan isu tersebut. Apa yang penting adalah mereka tidak tersilap langkah. Mereka akan melihat sesama mereka sendiri – siapa lebih kuat dan akhirnya akan membuat pertimbangan pada AGM akan datang.

Keadaan inilah yang akan menjadi faktor kemerosotan dalam Umno. Sekiranya barisan baru dalam Umno gagal mengambil langkah berkesan – maka Umno akan menjadi mangsa di luar sana.

Gerakan yang mempersoalkan 1MDB hari ini masih konsisten dengan hujah mereka mengenai apa yang dikatakan skandal dan ini memberi kesan negatif pada Umno/BN. Tindakan timbalan presiden Umno masih konsisten mahu menyuarakan kebenaran mengenai isu 1MDB serta wang yang dimasukkan dalam akaun Najib.

Ini semua adalah isu-isu yang perlu diselesaikan – untuk tidak menjadi bahan jajaan dalam Umno. Paling menyulitkan adalah untuk melihat sokongan yang ada hari ini terhadap presiden dan timbalan presiden Umno. Bagi kepimpinan bahagian dan cawangan – mereka hanya mahu melihat kekuatan berpihak pada siapa kerana mereka tidak mahu tersalah langkah.

Apa pun – persepsi luaran Umno amat membimbangkan dan ini perlu ahli Umno sedari. Setiap apa yang kita lakukan – mengkritik – menyokong satu-satu pihak, membongkar untuk menunjukkan sokongan kepada individu tertentu akan terus menjarakkan Umno/BN dari rakyat.

Mencari dan melihat sebelum mengambil langkah menyokong atau tidak juga adalah tindakan yang akan memberi kesan kepada Umno.

Umno kali ini benar-benar dalam bahaya.

Tiada ulasan: