HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Ogos 2015

Azalina ganti Shahidan jaga hal ehwal Parlimen

 
Azalina dipercayai akan memikul tanggungjawab hal ehwal Parlimen dengan baik berdasarkan pengalaman masa lalu sebagai pengamal undang-undang dan menteri.


shahidan-azalina


PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang baharu dilantik, Datuk Seri Azalina Othman Said akan menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim bagi menjaga hal ehwal Parlimen.

Mengesahkan perkara itu, Azalina meyatakan dirinya bangga dengan pemilihan itu.

“Saya akan bertemu dengan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk membincangkan kemungkinan sebarang perubahan,” katanya kepada The Star.

Manakala, Timbalan Speaker Datuk Seri Ronald Kiandee yang mengalu-alukan Azalina memikul tanggungjawab bagi hal ehwal Parlimen berkata, beliau yakin dengan kemampuan Menteri yang baru dipilih ekoran rombakan Kabinet Selasa lalu.

“Dia akan mengendalikan perkara-perkara eksekutif dalam Parlimen dengan baik berdasarkan pengalaman masa lalu sebagai Menteri,” katanya.

Pandikar Amin pernah menjadi kontroversi apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan beliau mahu meletak jawatan Speaker Dewan Rakyat kerana tidak berpuashati dengan kerajaan.

Beliau bagaimanapun menafikan perkara itu tetapi mengesahkan kecewa dengan beberapa perkara termasuk kewujudan menteri hal ehwal Parlimen.

Pandikar Amin dilaporkan mahukan jawatan menteri hal ehwal Parlimen dimansuhkan di bawah transformasi Parlimen untuk membantu memulihkan persepsi awam terhadap kebebasan seorang Speaker Dewan Rakyat.

“Untuk menghilangkan persepsi rakyat bahawa institusi Parlimen dan Speaker bertugas atas arahan pihak kerajaan sebagai Badan Eksekutif bertentangan dengan doktrin pengasingan kuasa, makanya jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal Parlimen ditiadakan,” kata Pandikar Amin.

Tiada ulasan: