HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Ogos 2015

Kita harus berbangga ‘pencapaian’ Najib – Ahli UMNO

 
Pujian harus diberikan dengan kelahiran seorang bilionaire dalam kalangan Melayu Islam mengumpul wang berbilion ringgit secara senyap tanpa menagih simpati untuk mendapatkan projek serta bantuan kerajaan.


najib,2.6


PETALING JAYA: Rakyat Malaysia harus berbangga dan bersyukur dengan berita pencapaian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dikhabarkan menerima derma berjumlah RM2.6 billion yang didepositkan dalam akaun peribadinya.

Dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu, kelahiran seorang bilionaire dalam kalangan Melayu Islam mengumpul wang berbilion ringgit secara senyap tanpa menagih simpati untuk mendapatkan projek serta bantuan daripada kerajaan harus dipuji.

Sindiran itu dibuat oleh Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju, Shahbudin Husin melalui entri terbaru dalam blognya yang sekaligus mengesahkan wang sebanyak RM2.6 bilion itu dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri hasil daripada sumbangan penderma bukannya daripada 1MDB.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa wang sebanyak RM2.6 bilion itu dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri hasil daripada sumbangan penderma bukannya daripada 1MDB.

“Wahh…sudah tentu ini merupakan satu lagi pencapaian Dasar Ekonomi Baru (DEB) serta tambah mengukuhkan ekonomi orang Melayu dan Islam di negara kita. Bertambah lagi jumlah bilionaire dalam negara kita ini.

“Maka, kita haruslah menerima dengan syukur, bukan hasad dengki dan caci maki atas pencapaian Najib itu,” sindirnya dalam diblog  shahbudindotcom.blogspot.com.

Selain itu, Shahbudin mempersoal jikalau wang RM2 juta yang dimasukkan ke akaun peribadi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor juga hasil sumbangan penderma yang murah hati seperti yang diperolehi suaminya.

“Bagaimanapun oleh kerana jumlahnya hanya juta-juta, bukan bilion-bilion seperti yang diterima suaminya, tak perlulah ditanya macam-macam seperti dari mana dan siapa yang memberikan wang itu.

“Syukurlah, dengan isu ini sudah terjawab dan sekaligus memberi kelegaan kepada kita semua, diharapkan lebih banyak lagi sumbangan derma diterima oleh Najib dan Rosmah selepas ini,” tulisnya.

Mengulas lanjut, penganalisis politik itu menyatakan selepas lebih 50 tahun negara merdeka, ini adalah kali pertama rakyat negara ini memiliki pasangan Perdana Menteri yang sangat dirahmati sehingga mendapat sumbangan derma sedemikian rupa.

“Rupa-rupanya The Wall Street Journal dan Sarawak Report tidak berbohong kepada kita, walaupun mereka bukan beragama Islam dan dikaitkan dengan Yahudi pula,” katanya.

Tiada ulasan: