"Sebenarnya, jika kita mengesan sejarah pembangunan sistem perundangan kita, proses mengharmonikan undang-undang Syariah dan Common telah berlaku sejak lebih dua dekad di negara ini.
"Ini sememangnya penting bagi menyemai rangka kerja perundangan yang berwibawa, cekap dan kondusif serta mewujudkan persekitaran kawal selia yang dinamik.
"Hari ini, kita dapat saksikan pengaruh undang-undang Common dalam prosedur dan keterangan yang digunakan di Mahkamah Syariah dan pemakaian undang-undang Islam yang ditadbir oleh Mahkamah Sivil,"katanya pada perasmian Seminar Antarabangsa Undang-undang Syariah dan Common Ketiga (ISCOL 2015) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, Selasa.
Ahmad Zahid berkata sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia memperkukuh sistem dan infrastruktur perundangan bagi menampung pembangunan kewangan Islam yang semakin meningkat, kerajaan Malaysia telah menubuhkan Jawatankuasa Pengharmonian Undang-undang pada 2010.
Ia diketuai bekas Ketua Hakim Negara Malaysia Tun Abdul Hamid Mohamad dan disokong oleh anggota-anggota dari bidang perundangan dengan matlamat memastikan undang-undang Malaysia adalah bersesuaian dengan undang-undang Syariah.
Menurutnya undang-undang Syariah dan Common merupakan dua bidang berlainan yang telah berkembang dalam tempoh berbeza di Malaysia.
Kedua-duanya adalah unik dari segi sumber undang-undang, hirarki kewibawaan, peraturan undang-undang dan amalan termasuk kaedah dan pewajaran, kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.
"Walaupun berbeza dengan ciri-ciri unik, sebarang kelemahan yang ada tidak harus dilihat sebagai halangan untuk menegakkan keadilan.
"Dengan mengambil kira kepelbagaian dua sistem undang-undang ini, kita mesti memahami realiti negara ini. Kita tidak dapat lari daripada hakikat bahawa Malaysia adalah negara pelbagai kaum, budaya dan agama dengan sistem perundangan bercampur.
"Dalam sebuah negara yang demokratik, apa-apa perubahan dan penambahbaikan yang kita mahu perlulah dilakukan menerusi cara yang demokratik. Lebih penting lagi, kita perlu melakukannya mengikut batasan Perlembagaan,"kata Ahmad Zahid.
Seminar dua hari itu yang bertema "Meneroka Pendekatan Wasatiyyah Dalam Mengharmonikan Undang-undang Syariah dan Common" dianjurkan bersama oleh Fakuliti Syariah dan Undang-undang USIM dan Institut Wasatiyah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan