Seorang ADUN Umno mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang populariti kerajaannya pada tahap rendah berikutan beberapa skandal supaya bertindak tegas terhadap Indonesia kerana menyebabkan jerebu di rantau ini.
ADUN Kempas, Tengku Putra Haron Aminurrashid Jumat dalam tulisannya di blognya ‘The Patriot’ berkata langkah itu akan membantu Najib mendapatkan sokongan rakyat.
"Jika ada satu perkara yang boleh dijuarai oleh perdana menteri supaya rakyat bersatu menyokongnya adalah bertindak ke atas negara yang memberi masalah pernafasan kepada kita sejak 18 tahun lalu," katanya.
Tengku Putra turut mendesak Najib untuk membuktikan kewibawaan atas kapasiti sebagai pengerusi Asean dengan mengenakan sekatan ke atas Indonesia.
"Malaysia adalah yang paling teruk terjejas di kalangan empat negara dan sebagai pengerusi Asean adalah penting bagi kita bersama sekutu lain mengenakan sekatan yang berkesan supaya melatih negara itu menjadi jiran yang baik.
"(Dengan memberikan) kepimpinan di Asean - bagi membolehkan rakyat di rantau ini menghirup udara segar untuk bernafas - Najib akan membuktikan kewibawaannya.
"Jadikan tindakan ini sebagai yang terakhir tetapi paling diingati dalam kapasitinya sebagai pengerusi Asean 2015," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia tidak akan memberi tekanan kepada Indonesia berhubung masalah jerebu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan