HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Oktober 2015

Setiap Keluarga Bayar GST Lebih Tinggi Dari Bantuan BR1M Dakwa PKR

Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN
 
 


KUALA LUMPUR: Kerajaan secara purata akan mengutip Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) purata sebanyak RM19 sehari daripada setiap keluarga di negara ini pada 2016 berbanding jumlah kenaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM0.14 sen sehari, demikian dakwa Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, anggaran tersebut dibuat berdasarkan analisa oleh Jawatankuasa Ekonomi Pakatan Harapan terhadap pembentangan Bajet 2016 Jumaat lalu.

Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa, beban membayar hasil kepada kerajaan telah dialihkan kepada rakyat biasa, satu kepincangan paling utama yang dapat dilihat dalam Bajet 2016.

“Peralihan beban cukai kepada rakyat ini lebih ketara apabila analisa kutipan GST setiap isi rumah dibandingkan dengan pengumuman kenaikan BR1M sebanyak RM50. Sementara kerajaan akan mengutip GST pada puratanya RM19 sehari daripada setiap keluarga di negara ini mulai tahun 2016, jumlah kenaikan BR1M sebenarnya hanya RM0.14  sen sehari,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, Isnin.

Rafizi yang juga setiausaha agung PKR berkata, pada 2016 rakyat Malaysia dianggarkan membayar sejumlah RM13 bilion cukai tambahan kepada kerajaan yang terdiri daripada, duti eksais (kereta, rokok dan lain-lain), cukai individu dan cukai syarikat, termasuklah GST.

Katanya dari segi peratusan, kutipan GST pada 2016 menunjukkan peningkatan 13 peratus, duti eksais (dua peratus), cukai individu (lapan peratus) dan cukai syarikat (sembilan peratus) berbanding kutipan pada 2015, menjadikan jumlah kutipan meningkat RM13 bilion.

“JIka ini diagregatkan mengikut isi rumah dengan anggaran satu keluarga purata mempunyai lima orang ahli, bersamaan enam juta isi rumah, setiap keluarga Malaysia pada puratanya akan membayar cukai sebanyak RM27,857 setahun kepada kerajaan dalam bentuk cukai-cukai tersebut,” katanya.

Menurut beliau lagi, keadaan ini berlaku apabila harga minyak mentah dunia jatuh mendadak dan kerajaan yang bergantung kepada kutipan cukai minyak sebelum ini tidak lagi menikmati hasil lumayan daripada sektor ini.

“Kerajaan sendiri menjangkakan hasil dari sumber petroleum menurun sekitar RM30 bilion dalam tahun 2015 dan telah ditampung oleh kutipan GST.

“Dalam Bajet 2016, pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak mengalihkan beban membayar hasil ini daripada syarikat-syarikat gergasi minyak kepada rakyat kebiasaan,” katanya.

Katanya, lompong RM30 bilion ini dijangka terus ditampung oleh rakyat kebiasaan yang akan membayar cukai yang lebih tinggi.


Tiada ulasan: