HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 November 2015

Akhbar cetak masih relevan, diperlukan


akhbar
- Gambar Hiasan


NILAI - Biarpun wujud pelbagai media baharu pada masa kini mengikut arus teknologi, akhbar konvensional masih diperlukan orang ramai dan boleh bertahan.

Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali berkata, seperti yang diketahui umum, media baharu menggunakan teknologi digital kini merupakan saingan kepada surat khabar konvensional.

“Ini dapat dilihat dengan wujudnya berita-berita versi online, portal mahupun blog. Masyarakat boleh mendapatkan sumber berita dengan cepat dan pantas. Sungguhpun begitu, saya berani membuat kesimpulan bahawa dalam era digital ini, surat khabar konvensional masih lagi boleh bertahan kerana ia masih diterima pakai dan masyarakat masih memerlukan sumber berita dari segi hard copy (salinan cetak).

“Bagaimanapun, saya tidak tahu untuk tempoh 10 tahun akan datang. Sejauhmana surat khabar konvensional ini akan mampu bertahan. Tetapi pada masa sekarang ini, saya yakin surat khabar masih relevan,” katanya ketika memberi ucaptama pada Majlis Perasmian Seminar Kebangsaan Media dan Dakwah 2015 (SMED) di Dewan Kuliah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di sini, semalam.

Hadir sama pada program berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Usim, Prof Dr Zulkiple Abd Ghani dan Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Prof Dr Yahya Mohamed Ariffin.

Abd Jalil bagaimanapun berkata, semua akhbar arus perdana sudah mempunyai versi online sendiri, tidak terkecuali akhbar Sinar Harian.

“Berita versi online hari ini banyak memberi impak kepada masyarakat kerana ia dikemas kini mengikut sumber-sumber berita yang diterima dengan lebih pantas dan cepat.

“Jika dibandingkan zaman saya dulu, sesuatu berita itu boleh ‘hidup’ sehingga 12 jam. Tetapi berlainan pula di era digital, kerana semuanya dihujung jari. Jangka hayat sesuatu berita sekarang ini menjadi lebih kreatif dan inilah adalah cabaran baru kepada dunia kewartawanan.

“Bagaimanapun, saya mempunyai prinsip, walaupun hadirnya media digital sebagai satu saingan tetapi kita perlu menganggap ia sebagai saling melengkapi antara satu sama lain kerana masing-masing memainkan peranan dalam menyampaikan sumber berita,” katanya.


Tiada ulasan: