HALAMAN SANTAI

Selasa, 3 November 2015

Bakal pengantin dipenjara kerana gambar bendera IS

Bernama  






Seorang bakal pengantin terpaksa meringkuk di penjara selama sembilan bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi hari ini atas tuduhan memiliki telefon bimbit yang mengandungi gambar bendera kumpulan pengganas IS.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin menjatuhkan hukuman itu terhadap Azlee Md Salleh, 30, dari Kangar, Perlis, yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya pada 19 Okt lepas.

Keluarga Azlee dan tunangnya turut hadir di mahkamah.

Mahkamah memerintahkan Azlee, pemilik syarikat hiasan dalaman di negeri Indera Kayangan itu, menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap pada 19 Ogos lepas.

Azlee didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Ira, Kangar pada 8.30 pagi, 19 Ogos lalu.

Tertuduh, yang kelihatan tenang sepanjang prosiding itu, didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana bahan penerbitan berkenaan.

Mengikut fakta kes, pada awal tahun ini, Azlee mula berhubung dengan beberapa rakyat negara ini yang sedang berjuang dengan kumpulan pengganas IS di Syria termasuk Zulqarnain Ghaz.

Azlee juga telah berhubung dengan Zulqarnain yang ditembak semasa berperang di Syria dan Zulqarnain memaklumkan kepada Azlee bahawa dia (Zulqarnain) dikehendaki pihak polis dan meminta bantuan kewangan daripada tertuduh.

Tertuduh kemudiannya ditangkap pada 19 Ogos lepas, bersama telefon bimbitnya yang mengandungi gambar bendera IS.

Pada 9 Okt lepas, Zulqarnain, bekas penceramah bebas, dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah atas tuduhan memasuki Syria bagi menyokong perbuatan pengganas.

Ketika rayuan bagi mengurangkan hukuman, peguam Dinesh Mutal yang mewakili Azlee berhujah anak guamnya telah menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

"Kesilapan tertuduh adalah dia tidak melaporkan gambar bendera IS yang diterima melalui telefon bimbit kepada pihak berkuasa," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon hukuman berbentuk pengajaran supaya ia bukan sahaja menyedarkan tertuduh tetapi turut memberi pengajaran kepada masyarakat umum.
- Bernama


Tiada ulasan: