KUALA LUMPUR - Calon yang bakal menggantikan ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Tony Pua dalam program debat secara langsung dengan Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda akan ditentukan petang nanti.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, keputusan itu diambil kerana parti itu tidak mahu kehilangan wakilnya dalam PAC.
"Saya rasa dalam keadaan ini, sekiranya Tony meneruskan perbahasan ini dan saya rasa pun kerajaan pusat tidak akan meneruskan perbahasan ini, kedudukan beliau sebagai ahli PAC akan terancam.
"Ini adalah keputusan DAP kerana beliau wakili kami sebagai ahli PAC. Tanpa beliau, kami akan kurang seorang ahli PAC. Kami tidak benarkan perkara sedemikian berlaku," katanya pada sidang media di lobi Dewan Rakyat, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: 1MDB: 'Tutup' siasatan PAC kalau terus debat]
Menurutnya, perkara itu telah dibincangkan dengan PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).
"Keputusan bersama ialah bahawa mungkin untuk memastikan kontroversi ini tidak ditutup oleh BN, cadangan kami ialah, kita akan hantar seorang pendebat ganti.
"Hal ini akan dibincangkan dalam mesyuarat ketua-ketua sekretariat ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan, petang ini. Pengumuman kemudian akan dibuat," katanya.
Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, beliau yakin calon pengganti Tony tidak kurang hebatnya dan bersedia walaupun perlu berdebat hari ini juga.
"Kalau boleh teruskan pada hari Jumaat ini pun tiada masalah kerana pembahas gantian kita juga 'terror-terror'.
"Calonnya seorang sahaja. Nak debat hari ini pun boleh," katanya.
Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara sebelum ini mencabar Arul Kanda untuk berdebat secara terbuka yang kemudiannya dipersetujui.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak juga menyatakan kesediaan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menyiarkan debat berkenaan secara langsung pada Jumaat ini.
Bagaimanapun, pada persidangan Dewan Rakyat semalam, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat keputusan Tony perlu meletak jawatan sebagai anggota PAC atau tidak terlibat sama sekali dalam siasatan 1MDB sekiranya berhasrat meneruskan debat terbuka itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan