SELEPAS menjuarai Piala AFC, pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) kini menyasarkan kejuaraan berprestij bola sepak tempatan iaitu Piala Malaysia.
Ketua Jurulatihnya, Mario Gomez berkata misi itu membuktikan mereka tidak cepat berpuas hati dengan pencapaian sedia ada, sebaliknya mahu terus memperbaiki diri dari semasa ke semasa.
Katanya menjuarai Piala Malaysia bukan perkara yang mustahil kerana skuad Harimau Selatan memiliki pemain berdisiplin selain pernah menjuarai Liga Super dua musim berturut-turut dan terbaru memenangi Piala AFC.
"Esok kita akan menentang Perak. Kami akan tampil dengan taktik sama seperti dalam Piala AFC.
"Kami adalah juara Liga Super, juara Piala AFC dan kini mungkin ada satu lagi gelaran iaitu Piala Malaysia," katanya yang ditemui pemberita selepas majlis meraikan kepulangan pasukan itu dari Tajikistan di Dataran Bandar raya Johor Baharu, malam tadi.
[ARTIKEL BERKAITAN: Ribuan penyokong sambut kepulangan wira JDT]
Turut hadir, bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Datuk Ismail Karim; Bendaharinya, Datuk Abd Latif Bandi dan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor Tan Sri Mohamad Aziz.
Dalam saingan Kumpulan B Piala Malaysia esok, JDT dijadualkan bertemu Perak di Stadium Ipoh pada jam 8.45 malam.
Terdahulu, Gomez menyifatkan kejayaan JDT menjulang Piala AFC adalah hasil mengamalkan resepi disiplin yang pernah dipratikkannya ketika membimbing pasukan Valencia sebelum ini.
"Saya memastikan semua pemain memahami arahan dan pada masa sama, tahu corak permainan mana yang saya mahukan," katanya.
Sementara itu, Safiq Rahim selaku kapten JDT juga mahu rakan sepasukannya melupakan seketika kegembiraan menjulang Piala AFC dan memberi tumpuan kepada kempen Piala Malaysia.
"Ketika ini seluruh pemain serta pengurusan berasa terlalu gembira yang tidak dapat digambarkan kerana ini pengalaman pertama mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.
"Bagaimanapun, kita tidak boleh terus berpuas hati dan perlu lebih komited bagi menjuarai Piala Malaysia," katanya. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan