SHAH ALAM - Darul Ehsan Investment Group (DEIG) hanya akan beroperasi setelah segala elemen ketelusan dan tadbir urus korporat selesai dilaksanakan, kata Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata kerangka mengenai struktur syarikat bernilai RM2 itu telah siap dan akan dirujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri sebelum dibentangkan kepada Lembaga Pengarah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).
"Pada masa sama, dalam kerangka itu kita turut memasukkan keanggotaan ahli lembaga pengarah DEIG yang terdiri daripada wakil bebas dan wakil korporat selain penubuhan jawatankuasa audit, pelaburan, kewangan, perolehan dan emolumen.
"DEIG hanya akan meneruskan operasi selepas segala elemen ketelusan dan tadbir urus korporat dilaksanakan," katanya ketika menggulung perbahasan mengenai Bajet Selangor 2016 pada sidang Dun hari ini.
Isu penubuhan DEIG sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila anak syarikat MBI itu didakwa akan menguruskan kira-kira RM30 bilion nilai aset kerajaan negeri yang kini di bawah seliaan pemerbadanan tersebut.
Ketika persidangan Dun Ogos lepas, beberapa Adun Selangor termasuk DAP mendesak kerajaan negeri mengkaji semula penubuhan DEIG memandangkan syarikat tersebut ditubuhkan melalui Akta Syarikat.
Ini kerana segala aktiviti, operasi dan pengurusan kewangan serta pelaburan syarikat itu tidak perlu dilaporkan kepada persidangan dewan berkenaan.
Menteri Besar bagaimanapun dilaporkan berkata DEIG yang ditubuhkan pada Disember 2014, masih belum memulakan operasi malah tidak terlibat dengan mana-mana transaksi sehinggalah pada awal 2016.
[ARTIKEL BERKAITAN: DEIG terima pinjaman RM500 juta, apa kena cagar?]
Terdahulu, dalam satu sidang akhbar di sini, Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi dari Barisan Nasional menuntut Mohamed Azmin untuk memberi penjelasan berhubung tindakan DEIG menerusi anak syarikatnya, DEIG Land Sdn Bhd (DEIG Land).
DEIG didakwa menerima tawaran pinjaman berjumlah RM500 juta oleh sebuah bank tempatan untuk mengambil alih dan melunaskan hutang Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) berjumlah RM424.7 juta.
Pinjaman tersebut dilaporkan melibatkan aset negeri sebagai cagaran termasuk tanah yang melebihi jumlah pinjaman.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi DEIG, Soffian Affendi Aminuddin mengakui pernah memohon kepada bank untuk pinjaman itu dan menerima tawaran pinjaman berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, cadangan tawaran itu tidak diluluskan di peringkat lembaga pengarah syarikat DEIG.
"Tiada sebarang transaksi melibatkan pinjaman itu setakat ini," katanya.
Persidangan dewan bersambung esok. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan